Home Kenyataan Media PAS Selangor

PAS Negeri Selangor menuntut tindakan terhadap ADUN Sg Pelek – PJ PAS Selangor

122
SHARE

May be an image of 3 people and text

Dari Jendela Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Ahmad Yunus Hairi | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

KENYATAAN MEDIA PAS SELANGOR

PAS NEGERI SELANGOR MENUNTUT TINDAKAN TERHADAP ADUN SG PELEK

OLEH : YB DATO DR AHMAD YUNUS BIN HAIRI
PESURUHJAYA PAS SELANGOR

1. Pada hari Isnin 5 haribulan Julai 2021 yang lalu telah viral video pertelingkahan antara YB Ronnie Liu, ADUN DAP kawasan Sg Pelek, Selangor dengan seorang pegawai Polis di perkarangan Bangunan Mahkamah Majistret Raub, Pahang. Ronnie difahamkan berada di situ untuk memberikan sokongannya terhadap 18 orang penceroboh hutan simpan di daerah berkenaan yang telah ditahan Polis dan dibawa ke mahkamah untuk memperolehi perintah reman terhadap mereka.

2. Menerusi video berkenaan Ronnie dapat dilihat jelas mencabar dan mengganggu tugas anggota Polis dan kebiadapannya terhadap kakitangan awam yang menjalankan tugas sangat dikesali.

3. PAS Selangor mempertikaikan bagaimana Ronnie seorang ADUN Negeri Selangor boleh berada di Raub, Pahang pada hari berkenaan sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD dikuatkuasakan di sebahagian besar negeri Selangor.

4. Apabila diminta menunjukkan surat kebenaran rentas daerah, Ronnie langsung tidak mengendahkan permintaan pegawai Polis berkenaan malah tidak turun dari kenderaannya menunjukkan kesombongannya sebagai seorang penggubal undang-undang.

5. PAS Selangor mendesak pihak bertanggungjawab khasnya pihak Polis agar mengambil tindakan paling keras terhadap Ronnie yang bukan sahaja telah melanggar SOP tetapi turut terlibat dalam menghalang pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka.

6. Dalam kesungguhan rakyat mematuhi SOP demi memulihkan negara dari pandemik Covid 19 ini, tindakan Ronnie itu sangat dikesali dan memalukan rakyat Malaysia khasnya rakyat Negeri Selangor. ADUN Negeri Selangor yang biadap dan melanggar peraturan demi kepentingan politik sebegini harus ditolak oleh rakyat Selangor dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Kenyataan ini dikeluarkan pada hari ini Selasa 6 Julai 2021.

25 Zulkaedah 1442H | 6 Julai 2021

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor