Oleh: Wan Syahirah Wan Jafri
KUALA LUMPUR: “Pertemuan antara PAS dan MCA Wangsa Maju ini saya rasakan seperti sebuah keluarga yang bersatu atas dasar titik persamaan yang ditemukan bersama walaupun berbeza kaum”.
Ahli Dewan Negara merangkap Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berucap demikian ketika mengadakan kunjungan bersama PAS Wangsa Maju ke Pejabat MCA Wangsa Maju di sini Ahad lalu.
Tambah beliau lagi, pertemuan berkenaan selaras dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan PAS bahkan tercatat dalam perlembagaannya, iaitu PAS boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain bukan sahaja bagi memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini, tapi juga untuk melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia serta memastikan keharmonian antara semua kaum.
“Sepatutnya kita satu keluarga, sebagaimana seorang diri tidak boleh hidup sendirian, mesti tolong-menolong, begitulah satu bangsa dalam dunia ini tidak boleh hidup dengan bangsanya sahaja, mesti bertolongan antara satu sama lain, dan perlu setiap kita memastikan PAS UMNO MCA MIC bersepakat pada PRU-15, kerusi Parlimen Wangsa Maju mesti diambil semula dari Pakatan Harapan (PH)”, tegasnya.
Yang DiPertua PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud yang senada dengan beliau turut menegaskan bahawa PAS UMNO MCA MIC tidak boleh berpecah belah serta wajib mencari titik persamaan di samping menghormati perbezaan yang ada.
Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju, Ng How Doo kemudiannya menzahirkan penghargaan kepada YB Senator dan pimpinan PAS Wangsa Maju yang sudi hadir ke Pejabat MCA Wangsa Maju.
“Pertemuan ini boleh kita anggap sebagai pertemuan suai kenal antara parti politik yang tertua di negara ini khususnya Wangsa Maju”, ujarnya.
Kunjungan yang julung kali diadakan ini juga bertujuan mengesahkan PAS secara rasmi bekerjasama dengan MCA dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat di Wangsa Maju.
Rombongan PAS turut disertai Timbalan Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Haji Azhar Omar, Setiausaha PAS Wangsa Maju, Haji Hairul Harun, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Muhd Nur Azmi dan beberapa pimpinan tertinggi PAS Pusat, disambut mesra oleh Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju, Encik Ng How Doo bersama barisan pimpinan tertinggi MCA Wangsa Maju.