Home Berita PAS Melaka

Ameerah Care Tangga Batu edar bantuan susu dan lampin pakai buang bayi

628
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

TANGGA BATU, 8 Feb : Lajnah Ameerah, Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu telah berkesempatan mengedarkan bantuan susu dan lampin pakai buang kepada keluarga yang memerlukan di sekitar kawasan Parlimen Tangga Batu melalui penganjuran Ziarah Ameerah Care.

Seramai 21 orang penerima telah menerima bantuan ini yang merupakan hasil sumbangan orang ramai.

Rata-rata penerima adalah mereka yang berpendapatan rendah dan terkesan dengan PKP 2.0 yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Skuad ziarah Ameerah Care ini memulakan edaran pada hari Sabtu dan disambung pada hari Ahad lepas meliputi Dun Sungai Udang, Pantai Kundur dan Kelebang.

Ketua Ameerah Tangga Batu, Rohaya Ramli berkata ziarah Ameerah Care kali ini memberi penumpuan kepada edaran dua item yang sangat diperlukan oleh mereka yang mempunyai anak-anak kecil.

“Tidak dapat dinafikan susu dan diapers (lampin pakai buang) menelan belanja yang besar bagi sesebuah keluarga apatah lagi yang mempunyai anak ramai.

“Tambahan dalam suasana Malaysia hari ini, ada yang dibuang kerja, dipotong gaji tidak mampu menampung kos dua barang keperluan tersebut,” ujarnya.

Tambah Rohaya lagi, yang lebih menyayat hati, ada keluarga yang ditemui terpaksa mencatu susu anak-anak bagi meneruskan kehidupan.

Ameerah Tangga Batu berterima kasih kepada para dermawan dan penyumbang serta mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi meneruskan misi sumbangan ini ke fasa seterusnya.