Home Berita PAS Pahang

PAS mahu selamatkan orang dengan Islam

298
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 12 Julai ♦ “Mengapa PAS tidak mati? Kerana politik hanyalah sebahagian daripada tujuan PAS ditubuhkan. Kita nak selamatkan orang dengan Islam,” kata Timbalan Yang Dipertua PAS (TYDP) Kawasan Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak.

Beliau berkata demikian di kediaman Raof Saparno, Kg.Shafie dalam Lawatan Jawatankuasa Harian Kawasan Turun Ke DUN Pelangai, Sabtu lalu.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukanlah sekadar wadah politik, sebaliknya adalah sebuah harakah Islamiyyah bertujuan menyelamatkan orang dengan Islam.

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan! Siapa umat itu? Kita lah,” jelas beliau selepas memetik ungkapan وَلْتَكُن مِنكُمْ أُمَّةٌ dari al-Quran Surah 3 Ayat 104.

“PAS ‘hidup’ untuk berbakti, menyeru umat kepada kebaikan,” tegasnya lagi.

Ustaz Ahmad Junaidi mewakili Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong Khairuddin Abdullah yang kini berada di hospital untuk tujuan rawatan.

Di dalam ucapan pembuka gelanggang pertama lawatan pagi itu beliau menyingkap bagaimana Nabi Nuh diperintahkan Allah untuk menyelamatkan semua, bukan saja manusia tetapi juga binatang.

“Lihat dalam satu kapal, Allah perintahkan Nabi Nuh bawa semua termasuk binatang sebab kita nak selamatkan semua, kita nak selamatkan orang dengan Islam,” ujarnya.

Program tahunan anjuran Lajnah Pemerkasaan Parti itu bermatlamatkan berkenal-kenalan, mempertaut hubungan erat antara kawasan dan cawangan, membuat pemutihan ahli disamping berusaha menyelesaikan sebarang permasalahan.

Mengiringi beliau ialah Naib Yang Dipertua (NYDP), Kasim Samat, Setiausaha, Ismail Abdullah serta Ketua Penerangan Kawasan, Mustafa Abu Bakar.

Usai minum pagi di Kampung Shafie, rombongan bergerak ke lokasi kedua iaitu PAS Cawangan Sri Pelangai, diikuti Kg. Bukit Gajah, Sg.Kemahal dan Cemomoi.

Rombongan dijamu santapan malam arnab bakar air tangan tukang masak Pak Lang Karim di Markaz PAS Kemasul sebagai destinasi penutup ziarah pusingan pertama.

Lawatan pusingan kedua berlangsung keesokan harinya bertempat di DUN Sabai, disusuli DUN Ketari pada 16 Julai dan lawatan penutup di DUN Bilut pada Ahad, 23 Julai 2023.