Home Berita PAS Wilayah

PAS Labuan lancar 6 cawangan baharu di Labuan

555
SHARE

LABUAN – PAS Kawasan Labuan melakar sejarah baharu sejak penubuhannya pada tahun 1998 dengan melancarkan 6 cawangan PAS baharu di Labuan secara maya yang telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar bin Yahya pada pagi tadi, di sini.

Pelancaran tersebut dihadiri oleh seluruh Jawatankuasa Harian PAS Kawasan Labuan, Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihanraya Parlimen Kawasan Labuan dan wakil-wakil daripada 6 cawangan PAS yang akan ditubuhkan. Turut hadir juga adalah Timbalan Pesuruhjaya 1, Haji Kamisan bin Suja’ dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Halim.

Antara 6 cawangan PAS yang dilancarkan adalah Cawangan Batu Arang dan Sungai Keling, Cawangan Sungai Labu, Cawangan Bukit Kalam, Cawangan Kilan, Cawangan Sungai Miri dan Cawangan Rancha-Rancha.

Dalam ucapan perasmian Ustaz Azhar, beliau menekankan untuk para ahli PAS menunjukkan akhlak sebenar berpolitik, tegas dalam berprinsip dan sentiasa bertolak ansur dan fleksibel dengan orang-orang bukan Islam selagi mana tidak bercanggah dengan tuntutan syarak.

“Kita ahli PAS seharusnya kena matang dan menunjukkan akhlak yang baik dalam berpolitik. Tegas dengan prinsip dan pendirian namun bersikap tolak ansur dan fleksibel kepada mereka yang bukan Islam selagi tidak berlawanan dengan agam,” ujar beliau.

Yang Di-pertua PAS Kawasan Labuan, Haji Hamir bin Zahari menzahirkan rasa syukur dengan pertambahan cawangan PAS di Labuan dan menghargai usaha pelbagai pihak dalam merealisasikan penubuhan cawangan ini.

“Saya amat gembira dengan penambahan cawangan ini yang telah di rancang sejak November 2020 dan akhirnya ia berjaya direalisasikan. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam urusan penubuhan ini,” kata Hamir.

Terdahulu PAS Labuan hanya mempunyai 4 cawangan iaitu Cawangan PAS Gersik, Cawangan PAS Sungai Bedaun, Cawangan PAS Layang-Layangan dan Cawangan PAS Tanjung Aru. Dengan pertambahan 6 cawangan PAS yang dilancarkan, PAS Kawasan Labuan menjadi 10 cawangan keseluruhannya.