Home Artikel PAS Melaka

PAS Kota Melaka Teruskan Edar Sumbangan Kit Dapur

535
SHARE

 

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA: Menjelang Ramadan yang bakal menjelma Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kota Melaka giat meneruskan usaha membantu khususnya kepada masyarakat dan golongan B40 yang sedang berdepan situasi sukar dan mencabar terutama dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kota Melaka, Noorfazilah Ismail berkata semua pihak perlu akui dan mengambil berat tentang mereka yang terkesan dengan PKP ini.

“Ada bapa yang hilang sumber pendapatan, ada anak yang lapar perlu perhatian, ada ibu yang perlu berhenti kerja, ada Orang Kurang Upaya (OKU) yang terlantar. Bagaimana pula dengan mereka yang hanya bergantung dengan pendapatan harian untuk menyara anak-anak? Pasti sangat terjejas.

‘’Cuba anda bayangkan keluarga yang terpaksa mencatu makanan kerana mereka khuatir bekalan makanan tidak cukup. Mereka ini sangat perlukan bantuan segera samada dari segi makanan mahupun kewangan.’’ ujar Noorfazilah.

Selepas hampir sebulan program ini berjalan, lebih 300 keluarga termasuk 13 guru-guru dari Sekolah Rendah Islam Sri Ahmadiah, Telok Mas dan 35 orang guru-guru serta pembantu guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kota Melaka telah menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, gula, telur, minyak, tepung, susu, dan bihun.

Menurut Noorfazilah, sumbangan adalah hasil sumbangan daripada individu persendirian, orang ramai dan peruntukan kit makanan dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk diagihkan kepada penerima.

Jelas beliau lagi proses agihan ini juga mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan dipantau oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambah Noorfazilah, pihak LKK juga tidak akan menghentikan agihan sumbangan seperti itu ketika ini, sebaliknya akan diteruskan hingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Misi sumbangan ini amat bermakna kepada para penerima apatah lagi mereka memerlukan kerana hilang sumber pendapatan disebabkan tidak dapat keluar bekerja.’’Ujarnya

“Pihak LKK juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada golongan yang bermurah agar dapat menampung kos pembelian barang dapur,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang bagi menjayakan misi murni ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB – 860 116 3036 atas nama PAS KAWASAN KOTA MELAKA.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)