Home Artikel PAS Melaka

PAS Kota Melaka, Gesa KDN-Polis ambil tindakan terhadap pelukis komik

509
SHARE

Oleh : SHAWAL AHMAD (WARM)

KOTA MELAKA : Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis diminta segera mengambil tindakan tegas ke atas penulis komik, pihak pembekal dan penaja ‘‘ Komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’’ yang jelas mengandungi elemen-elemen yang tidak sesuai, bersifat menghasut dan bercanggah dengan undang-undang Negara.

Gesaan itu dibuat oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kota Melaka, Abd Ghapar Abd Wahab yang turut menggesa tindakan tegas perlu diambil kerana komik tersebut secara jelas sebagai cubaan propaganda DAP secara halus untuk mengelirukan pelajar sekolah dan orang ramai.

Beliau juga menggesa siasatan turut dibuat ke atas pemimpin DAP yang terbabit dengan penghasilan komik berkenaan.

Selain itu, tegas beliau komik berkenaan turut mengandungi fakta yang salah mengenai orang Melayu dan orang Islam di negara ini yang dilabelkan sebagai pengganas, selain menggambarkan orang Melayu bodoh dan pengecut dalam kemerdekaan Tanah Melayu.

“Komik ini langsung tidak bincangkan Inisiatif Jalur dan Jalan sebaliknya memaparkan cerita politik dengan fakta yang salah dan komik propaganda DAP yang kandungannya menyanjung idealogi Komunis, Bintang 3 dan Ko Min Tang” katanya.

Justeru itu, PAS Kawasan Kota Melaka telah membuat laporan polis yang dipimpin oleh YDP PAS Kawasan dengan diiringi pimpinan dan ahli PAS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini hari ini.

Laporan polis yang dibuat di IPD Melaka Tengah itu turut disertai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Zulhilmi Suboh, Ketua Muslimat Kawasan, Noorfazilah Ismail dan beberapa orang AJK, Pemuda & Muslimat PAS Kota Melaka.