Home Berita PAS Sabah

PAS Kota Belud berkongsi rezeki agihkan daging korban

105
SHARE

Oleh: Renna Yun
13 Julai 2022

KOTA BELUD : PAS Kota Belud dengan kerjasama Skuad Prihatin PAS Sabah, badan bukan kerajaan (NGO) Relawan Khidmat Malaysia serta penduduk kampung telah menjayakan Program Ibadah Korban di beberapa buah kampung di sini pada Ahad lepas.

Sebanyak 25 ekor lembu dan kerbau berjaya ditumbangkan di Kampung Bugaron-Rosok, Kampung Lilud, Kampung Tamau, Kampung Kesapang, Kampung Donggoi, Kampung Pantai Emas, Kampung Song Song dan Kampung Taburon.

Menurut Sekretariat Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sabah, Mustaqim Aling, korban ini bukan tradisi tetapi satu ibadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

“Banyak nilai yang boleh diperolehi melalui ibadah ini, salah satunya ialah kita berkongsi rezeki bersama masyarakat sekitar dengan mengagihkan daging korban.

“Majoriti penduduk kampung sekitar pondok terdiri daripada mualaf. Saban tahun, semakin ramai yang memeluk Islam kerana tertarik dengan nilai Islam yang ditonjolkan melalui program sebegini serta hubungan erat antara pihak pondok dan masyarakat sekeliling,” ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Belud ketika mengetuai program korban di Pondok Kampung Bugaron Rosok.

Menurutnya lagi, ia memberi kesan yang baik kepada Islam kerana setiap tahun ada yang memeluk Islam berbanding dahulu, kini jumlah penduduk mualaf sekitar pondok sudah melebihi 300 orang.

“Insyaallah azam pada masa akan datang, kita cuba untuk menambahkan lagi jumlah korban agar usaha ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat khususnya di sekitar pedalaman Kota Belud untuk sama-sama berkongsi rezeki,” tambah beliau lagi.

Hadir bersama Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Kota Belud, Awang Laiman dan Madli Mansur, Ketua Lajnah Dakwah PAS Kota Belud dan wakil Relawan Khidmat Malaysia, Hasif Hamzi.

Awang mengucapkan penghargaan kepada semua peserta korban dan sukarelawan kerana bekerjasama dalam majlis korban dan membantu mengedar daging kepada pelajar pondok serta penduduk sekitar Kota Belud antaranya Kampung Pintasan, Kampung Lasau Podi, Kampung Piasau, Kampung Letinggi, Kampung Sembirai, Kampung Kawang Kawang, Kampung Paka Paka, Kampung Pandasan, Kampung Dudar dan Kampung Sarang.

Hasif pula berharap agar program sebegini mendapat sambutan di kalangan anak muda Islam bagi menyuntik semangat kesukarelawanan dalam diri mereka.