Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PAS KONSISTEN MENOLAK PH DALAM PRU KE 15

69
SHARE
May be an image of 1 person and text
PAS dari awal penubuhannya sentiasa konsisten dalam memperjuangkan dasar dan prinsip Islam dalam mencorakkan budaya politik Malaysia. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) menjadi amalan dalam memperjuangkan politik Islam di Malaysia di mana politik berprinsip merupakan teras yang utama. PAS juga secara terus terang memperjuangkan pemimpin yang berintegriti, berprinsip, telus, amanah dan jujur sementara kerajaan yang berkebajikan dan prihatin rakyat.
PAS melihat Pakatan Harapan (PH) tidak selari dengan dasar perjuangan PAS. Prestasi selama 22 bulan di bawah PH membuktikan kepimpinan dan kerajaan PH yang caca marba, tidak berprinsip, tiada wawasan dan lemah. Lebih lagi PH tidak mendukung dasar perjuangan Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS.
Dalam sejarah politik PAS di Malaysia, PAS adalah parti yang paling banyak menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dan parti politik lain. Oleh itu, PAS telah cukup matang untuk mengenal pasti siapa kawan dan siapa lawan dalam perjuangan ini. Perjuangan PAS juga tidak ekslusif kepada orang Islam sahaja dan ini boleh dilihat dengan penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang dianggotai oleh ahli yang bukan beragama Islam. Dalam pada PAS teguh bersama Islam sebagai dasar perjuangannya, DHPP tidak sedikit pun berganjak bersama dengan PAS sehingga ke hari ini.
PAS membawa politik rahmah dan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam untuk membentuk negara yang harmoni. Perlu ditegaskan juga bahawa PAS bukan hanya parti politik semata-mata, tetapi turut menggerakkan usaha dakwah bagi memberi kefahaman agar keadilan, kebenaran dan keamanan yang berpaksikan Islam sampai kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Justeru, PAS tidak akan bersama-sama dengan PH yang tidak konsisten, gagal dan lemah ini, serta terpalit dengan pelbagai kes salah laku kerana mereka akan membawa mudarat yang lebih besar kepada negara. PAS tidak akan teragak-agak berdepan dengan PH demi memperjuangkan Islam dan memelihara kesejahteraan rakyat Malaysia.
Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kita semua.
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan