Home Berita PAS Perak

Penubuhan Persatuan Penduduk cetus semangat Keluarga Malaysia

176
SHARE

17 September 2022 – Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG : Penubuhan persatuan penduduk di sesuatu taman perumahan dan perkampungan dapat mencetuskan keharmonian di kalangan komuniti.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Haji Ahmad berkata, “Komuniti berbilang kaum yang bersatu-padu dan bersepakat dapat menyelesaikan banyak kesulitan serta mewujudkan kesefahaman sesuai dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“InsyaAllah, persatuan penduduk di sini akan terus diberikan sokongan dan bantuan yang perlu walaupun saya bukan Ahli Parlimen yang mempunyai peruntukan jutaan ringgit.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Dialog Santai bersama Persatuan Penduduk Taman Simpang Aman Dan Mutiara, Simpang dekat sini, malam semalam.

Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Taiping merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail, Pengerusi Pesatuan Penduduk, Mok Choon Eng, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri, Azmi Murad dan Basheer Ahamad Seeni Ibrahim selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Kawasan.

Idris yang juga Naib Presiden PAS menambah, “PAS sentiasa berusaha mewujudkan hubungan erat dengan semua kaum melalui penubuhan Lajnah Perpaduan Nasional dan Dewan Himpunan Pendokong PAS yang dianggotai pelbagai kaum.

“Salah faham dan pandangan serong terhadap PAS sering terjadi kerana ada pihak yang suka menyebarkan fitnah dan memberi gambaran yang salah.

“Semoga majlis seumpama ini dapat menjernihkan hubungan sesama kita dan kami sedia membantu menyelesaikan permasalahan dalam komuniti anda dengan usaha dan kemampuan yang kami ada”, ujarnya.

Pada majlis tersebut, penduduk menyuarakan beberapa permasalahan yang mereka hadapi seperti isu keselamatan, dana untuk persatuan, permohonan membina sebuah surau dan pusat aktiviti komuniti.