Home Berita PAS Sabah

PAS komited memberikan pendidikan terbaik untuk masyarakat

314
SHARE

Oleh : Nur Syarifah Ariffin
30 November 2022

TAWAU : PAS komited memberikan pendidikan yang terbaik untuk masyarakat melalui pelbagai inisiatif dan institusi yang terdapat dibawah organisasinya.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Tawau, Amboase Ramano, PAS bukan hanya dikenali sebagai parti politik tapi juga mengenalkan insititusi pembelajaran berteraskan Islam melalui pusat pendidikan.

“PAS Tawau telah berjaya membina insititusi pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke sekolah rendah dengan menubuhkan 26 buah PASTI dan 2 buah sekolah rendah berteraskan Islam iaitu Sekolaj Rendah Islam Al Fateh.

“Kami juga mempunyai sebuah madrasah yang ditubuhkan di Sungai Imam iaitu Madrasah Darul Hidayah,” ujarnya semasa merasmikan Ihtifal Alam Ria PASTI Kawasan Tawau, Ahad lalu.

Menurutnya lagi, mereka juga sedang merangka pembangunan institusi sekolah menengah sebagai usaha dakwah bagi memastikan pelajaran terbaik buat masyarakat di sini.

Beliau turut memaklumkan, PAS Tawau telah membina sebuah pusat asuhan untuk bayi iaitu Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) di bawah kelolaan Dewan Muslimat sebagai langkah awal bagi memperkenalkan didikan Islam kepada anak-anak.

Sementara itu, menurut Pengerusi PASTI Tawau, Irwan Hamdan pula sokongan dan kerjasama dari ibubapa adalah kunci keberjayaan PASTI untuk terus maju sehingga hari ini.

“Pelbagai acara menarik telah dilaksanakan bagi mencungkil bakat anak-anak setelah dua tahun program ini tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka kerana pandemik,” katanya.

Antara acara menarik yang dipertandingkan ialah pertandingan nasyid, hafazan, azan, khutbah, bercerita, pidato dan sajak.

Program itu turut dimeriahkan lagi dengan acara pertandingan mewarna.

Johan keseluruhan disandang oleh PASTI Nurul Huda, Pasir Putih, Naib Johan PASTI An Naufal, Kunak dan tempat ketiga dimenangi oleh PASTI Nurul Izzah, Jalan Saddani.

Seramai kira-kira 4000 lebih hadirin hadir memeriahkan majlis yang terdiri daripada ibu bapa, pihak pengurusan PASTI dan ahli PAS kawasan.

Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Tawau, Mandina Ladale.