Home Kenyataan Media PAS Selangor

PAS KLANG | Lawrence Of Arabia & Kebodohan Umat Yang Melupakan Al Quran

1343
SHARE


LAWRENCE OF ARABIA & KEBODOHAN UMAT YANG MELUPAKAN AL-QURAN.

Apabila mengamati sejarah pemberontakan Arab ke atas Uthmaniyyah, pasti akan muncul satu watak yang berperanan besar melobi pemimpin-pemimpin Arab.

 Intelijen British.

Thomas Edward Lawrence (1888-1935) merupakan perisik yang dihantar oleh British untuk menguasai pemimpin-pemimpin Arab. Beliau melakukan tinjauan geografi di tanah Arab seawal 1914 dan merekod pemetaan bagi pihak British.

Lawrence juga menyelami budaya dan kemahiran berbahasa Arab, sebagai kunci mendapatkan akses mendekati pemimpin-pemimpin Arab.

Misi.
Lawrence menggalas misi British. Menyalakan api pemberontakan Arab melawan Khilafah Uthmaniyyah. Antara kaedah yang diaplikasikan oleh Lawrence adalah:

• Mendekati pemimpin-pemimpin Arab dan berusaha memenangi hati mereka. Lawrence menggambarkan bahawa dirinya jujur membantu Arab keluar dari ‘penjajahan’ Uthmaniyyah. Sebutkan apa sahaja, Lawrence sedia membantu.

• Membodek pemimpin-pemimpin Arab. Kononnya merekalah yang paling layak mewakili umat, bukan Uthmaniyyah yang berbangsa Turki.

• Menyalakan sentimen kebangsaan yang amat berperanan menjadi asas kepada doktrin nasionalisme Arab.

• Tidak bersikap kontradik dengan nafsu pemimpin-pemimpin Arab yang kebulur kuasa. Lawrence tahu mereka sudah sedia prejudis dengan Uthmaniyyah.

• Maka Lawrence mewiridkan kempen anti Uthmaniyyah. Menyebabkan pemimpin-pemimpin Arab menganggap Lawrence ‘sefikrah’ dengan mereka. Ketika itu, budaya memaki Uthmaniyyah menjadi ‘trend’ yang pasti mendapat sambutan ramai.

• Memanipulasi isu korupsi Uthmaniyyah yang sememangnya berlaku. Lalu diolah kefahaman kononnya adalah lebih baik bersekutu dengan British berbanding Uthmaniyyah yang korup itu.

Dari kaedah-kaedah tersebut, pemimpin-pemimpin Arab meletakkan kepercayaan penuh kepada si kafir itu. Lawrence si anak muda British ditatang ibarat anak ‘angkut’ pemimpin-pemimpin bodoh.

Bagi pemimpin-pemimpin Arab, mereka kononnya telah berjaya mempengaruhi dan mempergunakan Lawrence. Hakikatnya mereka yang menjadi buah catur British.

Revolusi Agung Arab.
Pemimpin-pemimpin Arab melancarkan Revolusi Agung Arab yang bertemakan semangat nasionalisme Arab. Hasil dari lobi ‘nasihat’ Lawrence.

Arab bangsa mulia. Apakah wajar Arab duduk di bawah naungan Uthmaniyyah yang berbangsa Turki itu? Uthmaniyyah adalah penjajah, Lawrence adalah orang kepercayaan dan British adalah sekutu yang baik. Itulah doktrin yang ditanam.

Pemberontakan Arab menentang Uthmaniyyah berlangsung dari 1916 hingga 1918, menatijahkan sejarah hitam bagi umat Islam.

‘Menikmati’ Bantuan British.
Arab bergembira dengan tawaran senjata dari British. Mereka gunakan persenjataan British demi memerangi Uthmaniyyah, sedangkan masing-masing seagama Islam. Rela menjadi alat berbunuhan sesama sendiri.

Ketika itu kewarasan telah hilang. Landasan-landasan keretapi Uthmaniyyah diletupkan. Ia sebagai usaha mensabotaj sistem perhubungan Uthmaniyyah.

Sejarah Hitam.
Dari pemberontakan tersebut, menghasilkan kejayaan British dan Perancis melakar peta baharu bagi wilayah-wilayah peninggalan Uthmaniyyah melalui perjanjian Sykes Picot pada tahun 1916.

Kemudian menatijahkan perjanjian Balfour pada tahun 1917 yang memberi laluan kepada Yahudi dari Eropah untuk mula menetap di Palestin. Maka bermulalah episod penjajahan ke atas al-Quds.

Pada tahun 1924 jatuhlah Uthmaniyyah. British bergembira, Arab yang tidak sedar diri menganggap merekalah yang bakal dinobat sebagai khilafah yang baharu. Malangnya ia hanyalah fantasi.

Misi Lawrence telah selesai. Beliau pulang ke tanah airnya dan mati pada tahun 1935 akibat terlibat dalam kemalangan motorsikal.

Berwaspada Adalah Hikmah Yang Tercicir.
Apa yang telah terjadi merupakan akibat dari tidak beringat dengan ingatan Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil golongan selain dari kamu sebagai orang kepercayaan. Sedangkan mereka tidak henti-henti berusaha memudaratkan kamu. Mereka amat suka menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut-mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati-hati mereka lebih jahat. Sesungguhnya Kami telah terangkan kepadamu ayat-ayat Kami. Itu pun jika kamu berfikir” – Ali Imran 118.

Inilah antara cebisan sejarah kebodohan segelintir umat Islam yang mempercayai pihak asing menyebabkan mereka menjadi buah catur musuh. Allah mencabut maruah mereka.

Jika dahulu musuh boleh buat, adalah amat logik mereka mengulanginya hari ini. Bahkan pasti lebih licik. Malangnya kita selalu lalai.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
29 Julai 2017