Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | “Ibrah Al Kahfi : Kesinambungan Bagi Surah Bani Israel”

1288
SHARE


IBRAH AL-KAHFI : KESINAMBUNGAN BAGI SURAH BANI ISRAEL.

Surah al-Isra’ turut dikenali sebagai surah Bani Israel kerana banyak mendedahan tentang sikap & sejarah kedegilan Bani Israel. Ia diturunkan sebelum berlangsungnya Hijrah, sebagai bekalan untuk Nabi sebelum menghadapi Ahli Kitab menjelang bermulanya fasa Madinah.

Yang menariknya, tertib surah telah ditetapkan oleh Jibril kepada Nabi. Maka sudah pasti susunan surah ke surah, ayat ke ayat mempunyai kaitan yang membawa mesej yang cukup signifikan.

Kesinambungan antara dua surah menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi.

• Antara surah al-Isra’ dan surah al-Kahfi kelihatan bersambung. Melihat kepada syiar yang sinonim diregukan sebagai zikir:

سبحان الله و الحمد لله.

• Surah al-Isra’ dimulakan dengan tasbih:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ
“Maha Suci Dia yang telah menggerakkan hambanya pada waktu malam” – al-Isra’ 1.

• Seterusnya ditutup dengan tahmid:

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا
“Katakanlah wahai Muhammad, segala puji bagi Allah yang tiada anak” – al-Isra’ 111.

• Awal dan akhir surah al-Isra’ yang terangkum dengan tasbih serta tahmid pula disahut dengan tahmid di permulaan surah al-Kahfi:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ
“Segala puji bagi Allah yang telah menurukan kepada hambaNya al-Kitab” – al-Kahfi 1.

Surah Bani Israel & Surah al-Kahfi.

Dari kesinambungan tersebut, Allah menyampaikan mesej bahawa umat Islam mesti mengenali musuh mereka. Musuh yang menganut kepercayaan kononnya Allah mempunyai anak. Hingga diperuntukkan surah al-Isra’ yang khusus membicarakan soal Bani Israel.

Bukan sekadar itu, Allah menyambung ingatan tersebut di dalam surah al-Kahfi dengan ayatnya:

وَيُنذِرَ الَّذِينَ قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا
“Dan Dia mengancam golongan yang menuduh kononnya Allah beranak” – al-Kahfi 4.

Siapakah Mereka?

Imam al-Qurtubi menegaskan, mereka adalah Yahudi & Kristian, serta musyrikin. Yahudi mendakwa kononnya Uzair adalah anak Allah. Kristian pula menganggap kononnya Isa adalah anak Allah. Yahudi dan Kristian diingatkan oleh Allah sebagai musuh prima:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Dan Yahudi dan Kristian sama sekali tidak akan redha denganmu sehinggalah kamu mengikuti anutan mereka” – al-Baqarah 120.

Usaha untuk menghasut umat Islam agar hidup dengan cara Yahudi dan Kristian giat dijalankan. Bahkan ia merupakan sebahagian dari fitnah akhir zaman.

“Kamu akan mengekori jejak langkah golongan terdahulu (Yahudi & Kristian), sedepa demi sedepa, sehasta demi sehasta. Hinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, kamu akan ikuti mereka” – hr Bukhari.

Kesedaran.

Kita perlu sedar, bahawa al-Quran sebagai petunjuk telah banyak mengingatkan tentang ancaman dari musuh yang amat licik. Bahaya yang datang dari pakatan Zionis Yahudi & Kristian bukan semata-mata dalam bentuk persenjataan.

Malah ia datang dalam bentuk yang lebih halus. Melalui pemikiran, sistem dan ‘trend’ yang memaksa kita untuk hanyut bersama mereka. Jika tidak bersama mereka, kita akan dianggap mundur lagi ketinggalan zaman, kononnya tidak mesra arus perdana.

Maka tidak betul jika ada yang mendakwa tidak perlu sibuk memperingatkan tentang bahaya Yahudi. Sedangkan al-Quran acap kali mengingatkan makar mereka.

Oleh kerana itu, ayat pertama surah al-Kahfi menegaskan perlu berpegang dengan al-Quran. Satu-satunya panduan yang istiqamah, tiada bengkang-bengkok. Jalan yang pasti selamat.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
6 Oktober 2017.