Home Berita PAS Pahang

PAS Kedah sumbang RM50,000 bantuan banjir Pahang

170
SHARE

OLEH: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 27 Dis. :: Satu majlis penyerahan sumbangan bantuan banjir Pahang daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah (BPPNK) telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, YB (Senator) Dato Mat Yahya, petang semalam.

Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) telah diwakili Timbalan Pesuruhjaya PAS (TPJ) Pahang, Ustaz Yohanis Ahmad menerima replika cek bernilai RM50,000 di dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Maahad Tahfiz Al Abrar, Bentong.

Majlis telah dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Sanusi Mohd Nor, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam, Ahli Parlimen Yan, Ustaz Sabri Azit, Setiausaha BPP Pahang, Hasanuddin Salim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Mohd Khairuddin Abdullah.

Turut hadir adalah Naib Yang Dipertua PAS (NYDP) Kawasan Bentong merangkap Ketua Khidmat Malaysia Bentong, Samsuddin Abdullah berserta Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bentong dan Khidmat Malaysia Bentong.

Dalam ucapannya, Ustaz Mat Yahya berharap agar mangsa banjir akan sentiasa bersabar dengan ujian Allah SWT dan mengambil ikhtibar serta hikmah daripada apa yang berlaku.

Ujar beliau lagi, banjir mengubah landskap muka bumi dan kadang-kadang dapat mengubah landskap politik mangsa banjir.

“Sebagai contoh di Kedah setelah berlaku musibah kebiasaannya akan tertubuh PAS cawangan baru dan ini menunjukkan bahawa dakwah bil hal sudah berkesan,” kata Mat Yahya.

Manakala Ustaz Yohanis Ahmad pula berucap menerangkan senario  banjir yang melanda Pahang kali ini sangat luar biasa.

Menurut beliau, Bentong yang sebelum ini menjadi pintu masuk para petugas dan bantuan dari luar Pahang ketika banjir telah terjejas sekaligus mengubah landskap muka bumi Bentong terutama di pinggir sungai.

Yang Dipertua PAS Jerantut itu mewakili BPPNP merakamkan ucapan penghargaan kepada BPPNK atas bantuan banjir Pahang ini dan ia akan diagihkan ke seluruh kawasan terlibat banjir di dalam negeri Pahang.