Home Berita PAS Kedah

PAS Kedah lancar Kempen Dana PRU PRU-16

101
SHARE

 

Oleh: ROZAIDI TAIB

ALOR SETAR, 30 SEPT – PAS Kedah melancarkan Kempen Dana Pilihanraya Umum ke-16 (PRU-16) sebagai langkah siap siaga menghadapi PRU-16 oleh Presiden PAS, YB Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Pelancaran itu adalah sebahagian acara yang terkandung dalam Konvensyen PAS Kedah yang diadakan menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-69 nanti.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, YB Senator Musoddak Ahmad berkata walaupun Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri Kedah ke-15 baru sahaja berlangsung kira-kira tiga bulan yang lalu, namun persiapan serta gerak kerja bagi menghadapi PRU-16 perlu dimulakan bagi mengekalkan pentadbiran negeri Kedah di tangan Perikatan Nasional.

“48 bulan bukanlah suatu tempoh yang panjang dimana semua ahli dan pimpinan perlu menggandakan usaha dan menjalankan tugas dengan lebih bersungguh-sungguh sesuai dengan mandat yang diberi oleh rakyat dalam PRU-15 yang lalu,”

“Sepertimana menghadapi PRU-15 yang lalu, PAS Kedah telah mengorak langkah lebih awal selepas kalah agak teruk pada PRU-13 dengan menyusun pelbagai program dan kempen bagi memobilasi rakyat agar memilih PAS sebagai peneraju pentadbiran negeri Kedah yang baru.”katanya.

Namun katanya segala perancangan memerlukan dana daripada penyokong dan ahli untuk menggerakkan segala jentera berkaitan.

Pada PRU-15 yang lalu, PAS Kedah bersama BERSATU dan Gerakan membentuk gabungan parti Perikatan Nasional berjaya memperolehi 14 daripada 15 kerusi Parlimen manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri pula ialah 33 daripada 36 kerusi yang ditandingi di negeri Kedah.

“Jesteru saya merayu sumbangan dana daripada semua penyokong dan ahli Perikatan Nasional khususnya PAS agar menyambut usaha ini sebagai manifestasi komitmen perjuangan menyokong pentadbiran yang prihatin, bersih dan berwawasan diterajui Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor,” tambahnya.

Katanya lagi sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam atas nama Parti Islam Semalaysia (PAS) Cawangan Perhubungan Pas Negeri Kedah yang bernombor 02011010006747.

Turut hadir dalam majlis pelancaran Dana tersebut ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahya; Pengarah Pilihanraya PAS Pusat merangkap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Ketua dan ahli jawatankuasa Dewan-dewan negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Negara Malaysia, ADUN Kedah serta Pimpinan PAS peringkat Kawasan dan Cawangan negeri Kedah.