Home Berita PAS Johor

PAS Johor sambut baik titah YDP Agong dan Majlis Raja-Raja

152
SHARE

PAS JOHOR SAMBUT BAIK TITAH YDPA DAN MAJLIS RAJA-RAJA : ISU DARURAT DAN BUKA PARLIMEN

PAS Johor bersetuju dan menyokong penuh Titah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan Tuanku Sultan, berkenaan beberapa perkara termasuk membuka parlimen dan isu darurat usai mesyuarat Majlis Raja-Raja petang semalam, 16 Jun 2021.

PAS Johor berpendapat bahawa Majlis Raja-Raja telah membincangkan dengan teliti setiap permasalahan yang telah dibangkitkan oleh wakil-wakil parti dan individu-individu tertentu sepanjang pertemuan yang diadakan oleh YDPA selama seminggu. Seramai 18 orang telah dipanggil mengadap untuk membincangkan pelbagai perkara berkenaan isu yang berkaitan dengan rakyat dan negara.

Antara pendapat dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah, nyawa dan rakyat wajib diutamakan. Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus. Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan keraguan dan muslihat politik yang terselindung. Suhu politik yang panas wajib diredakan. Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.

PAS Johor juga yakin setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh YDPA adalah keputusan yang disepakati secara syura berlandaskan syariat dan dipersetujui secara sebulat suara itu telah mendahulukan segala aspek yang berkaitan maqasid syariah.

Keputusan tersebut, cerminan bahawa YDPA dan Majlis Raja-Raja sangat prihatin dengan segala masalah berkaitan rakyat dan negara. Ini menafikan fitnah dan sembah derhaka segelintir rakyat yang menuduh Institusi Raja yang diketuai YDPA tidak mempedulikan ehwal rakyat dan negara.

PAS Johor juga yakin segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja telah dibincangkan dengan Perdana Menteri dan akan dilaksanakan sebaiknya oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada waktu dan ketikanya selari dengan titah yang telah diisytiharkan.

PAS Johor juga berkeyakinan bahawa semua ahli PAS di negeri ini menyambut dan menyokong semua keputusan yang telah dibuat YDPA dan Majlis Raja-Raja.

Semoga keputusan yang baik ini akan memberi impak positif, manfaat serta barakah kepada rakyat dan Negara Malaysia yang kita cintai.

USTAZ ABDULLAH HUSIN

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)

18 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 2021H