Home Berita PAS Johor

PAS Johor bersedia hadapi PRN dengan rakan komponen

456
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

TEBRAU, 5 Feb : PAS Johor bersedia dengan kemampuan yang ada bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai pilihan raya negeri kali ini.

Demikian dinyatakan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin ketika berucap sewaktu program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini semalam.

“Penyatuan Ummah yang menyeluruh adalah agenda utama PAS dan akan menjadi faktor pemangkin dan asas kekuatan kepada pembinaan negara dan masyarakat Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa.

“Mesej yang ingin dipertegaskan ialah, PAS sentiasa komited dan teguh mempertahankan perjuangan ke arah membentuk penyatuan ummah,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Senator Ir.Ts Khairil Nizam Khairudin menyatakan politik negara sentiasa berubah.

“Politik sekarang ini bukan lagi bersifat statik, ia bersifat dinamik dan keadaan sering kali berubah. Siapa sangka tiba-tiba kita terpaksa berdepan dengan PRN Johor yang sepatutnya hayatnya boleh dipanjangkan lagi sehingga tahun depan.

“Pertimbangan PAS waktu sekarang adalah meletakkan Islam nombor satu dalam apa jua pertimbangan yang ingin dilaksanakan,” ujar beliau.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Azlisham Azhar, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz serta Yang Di Pertua PAS Kawasan-kawasan.

Sebelum ini, Najib Lep merupakan ADUN tunggal PAS yang memenangi kerusi di DUN Bukit Pasir sewaktu PRU-14 yang lalu.

Dalam satu kenyataan pada 24 Januari yang lepas, Setiausaha SPR Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan bahawa SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung perjalanan PRU DUN Johor ke-15 pada 9 Februari ini.