Home Berita PAS Pahang

PAS Indera Mahkota perkukuh parti demi kemenangan PRU15

174
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 4 Jun :: “Rahsia kemenangan perjuangan Islam adalah keikhlasan, pengorbanan dan kepatuhan dalam gerak kerja tanpa ada kepentingan diri dan mengharapkan apa-apa balasan sama ada ketika menang atau kalah, tetap rasa gembira, itulah konsep perjuangan.”

Demikian antara ucapan Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Mohd Amar Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Indera Mahkota di Dewan PSDC Semambu Khamis lalu.

“Mesti yakin dengan janji Allah bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Nya yang soleh. Akan sampai masanya Allah akan beri kejayaan apabila kerajaan akan diberi kepada orang yang beriman. Orang yang tidak yakin akan lari.

“Seluruh keputusan, strategi, gerak kerja yang dibuat oleh parti adalah berlandaskan kepada Islam. Sifat parti sentiasa mendahulukan maslahah agama, apa yang kita buat mengambil kira kepentingan Islam,” ujar Dato’ Mohd Amar lagi.

Menurut beliau, kejayaan dalam perjuangan adalah pengorbanan, kesediaan untuk mengorbankan masa, tenaga, dan harta benda tanpa adanya keluh kesah dalam melaksanakannya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengharapkan agar ahli PAS dapat mewujudkan hubungan peribadi yang baik dengan masyarakat, menjaga kebajikan tanpa mengira agama dan bangsa, serta menjadikan DUN Maharani sebagi model bagaimana bergerak dalam masyarakat majmuk.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu dalam ucapan aluannya meminta semua ahli memperkemaskan perancangan di setiap cawangan dan memperbaiki kelemahan yang ada untuk menjadi pasukan yang kuat.

“Kita perlu bergerak membina imej parti sebaik mungkin supaya boleh memberi gambaran kita boleh mentadbir, mampu menguruskan negeri dan negara dengan baik.  Kita mampu memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat sebab parti kita berbeza dengan parti yang lain,” kata Andansura lagi.