Home Artikel PAS Melaka

PAS DUN TABOH NANING BERSAMA PEMUDA PAS KAWASAN ANJUR PROGRAM KEMBALI KE SEKOLAH DAN GUNTING RAMBUT PERCUMA

194
SHARE
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman menyampaikan ucapan perasmian

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH – Majlis Tindakan Dun (MTD) Taboh Naning dalam kawasan Masjid Tanah dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah telah mengadakan ‘Program Kembali Ke Sekolah’ yang diadakan di Kedai Imam Halim Taboh Naning pagi tadi.

Selain dari pemberian sumbangan wang tunai untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, program ‘Kembali Ke Sekolah’ turut meraikan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPKK, UPSR, PT3 dan SPM di dalam DUN Taboh Naning ini.

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada MTD Taboh Naning yang bekerja keras mencari penderma dan penerima sumbangan. Juga ucapan terima kasih beliau kepada Dewan Pemuda PAS Masjid Tanah yang turut serta dengan menganjurkan program gunting rambut percuma.

“Saya difahamkan yang bukan tahun ini sahaja MTD Taboh Naning menganjurkan program ini. Malah tahun sebelum-sebelum ini lagi mereka telah menganjurkan program seperti ini. Tahniah!” Ujar beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.

Menurut Ustaz Imran lagi Program Kembali Ke Sekolah ini adalah sebagai suntikan semangat untuk anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan yang akan datang ini. Ini adalah kerana pendidikan yang baik yang dimiliki anak-anak adalah satu aset kepada ibu bapa.

Di dalam program ‘Kembali Ke Sekolah’ ini seramai 15 orang pelajar telah menerima hadiah anugerah kecemerlangan sementara 18 orang dari pelajar-pelajar kurang berkemampuan pula menerima bantuan persekolahan. Bagi program gunting rambut percuma pula telah disertai seramai 21 orang anak-anak yang hadir dalam program ini.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz, Ketua Penerangan MTD Taboh Naning, Mohd Taro Jaafar, Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Melaka, Dr Azman Yusof AJK MTD Taboh Naning.

Antara foto-foto menarik :