Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
IPOH: Perak adalah antara negeri yang tertinggi bilangan sekolah agama rakyat bahkan merangkumi semua sekolah rendah agama rakyat dan juga sekolah menengah agama rakyat.
Sebahagian sekolah agama rakyat di peringkat rendah terutamanya tiada penyelerasan penggunaan buku teks, pembayaran yurannya dan sebagainya.
Sehubungan itu, sudah sampai masanya kerajaan negeri Perak menubuhkan Yayasan Pendidikan Islam Perak bagi menguruskan dan menyelaras semuaperkara berkaitan institusi pendidikan Islam Rendah & Menengah seluruh Perak.
Cadangan itu dilontarkan oleh Adun Selinsing, YB Husin Din ketika membahas bajet 2018 Perak dengan menyentuh aspek pendidikan Islam di Perak, 24 November lalu, di sini.
Beliau berpendapat, tidak memadai institusi pendidikan yang begitu penting hanya diletakkan dibawah Jabatan Agama Islam Negeri tetapi ia mesti diselenggara oleh sebuah institusi lain yang hanya khusus dalam bidang pendidikan Islam dengan peruntukan bajet tertentu.
“Saya ingin mencadangkan supaya semua sekolah-sekolah agama rakyat rendah dihapuskan dari sebarang kutipan yuran bulanan, cukup dengan yuran tahunan sahaja serta diselaraskan di semua sekolah agama rakyat.
“Kita tidak mahu rakyat terlalu menanggung beban dengan bayaran yuran setiap bulan pada anak-anak yang belajar di sekolah agama rendah.
“Pendidikan percuma di semua Sekolah Rendah Agama Rakyat seluruh Perak termasuk pemberian buku teks sangat wajar dengan kemampuan kerajaan menjana pendapatan sehingga mencecah 1.17 billion.
“Saya juga ingin menegaskan untuk meminta supaya kerajaan negeri mengekalkan status Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah terus berada di bawah kerajaan negeri,” tegasnya.
Jelas Husin, penyelesaian terhadap sebarang kelemahan bukan bermakna mesti diserahkan kepada kerajaan Pusat bagi menguruskannya, dan beliau percaya Kerajaan Negeri mampu mentadbir, menambah baik pentadbiran sekolah tersebut dengan lebih baik.
Tambahnya, mutu dan kualiti serta pencapaian akademik pelajar setiap tahun tidak pernah mengalami kemerosotan malahan standing dengan sekolah-sekolah asrama penuh kerajaan Pusat, maka tiada sebab dua sekolah itu diserahkan kepada kerajaan persekutuan.
“Apa lagi yang akan menjadi kebanggaan dan mercu tanda Pendidikan Islam di Perak kalau dua buah institusi warisan sejak zamam berzaman tidak lagi berada di bawah Kerajaan Negeri.
“Sekolah Izuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah adalah aset ilmu dan warisan sejarah kegemilangan Perak dalam melahiran para cendekiawan dan pemimpin Islam,” ujar beliau.