Home Berita PAS Pahang

PAS Bentong ziarah ‘adik bongsu’

177
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 8 Feb :: PAS Kawasan Bentong menutup tirai ziarah mahabbah jawatankuasa harian dengan mengunjungi PAS cawangan dan PASTI paling bongsu di dalam kawasan Bentong bertempat di Sungai Murai, Khamis lalu.

Program ziarah ke cawangan-cawangan ini merupakan anjuran Lajnah Pemerkasaan Parti diterajui Timbalan Yang Dipertua PAS (TYDP) Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak selaku pengarah program.

Menurut Ketua PAS Cawangan (KPC) Sungai Murai, Ustaz Roslan Md Esa, cawangan ini ditubuhkan pada penghujung Disember 2021 diikuti PASTI As-Sakinah pada Januari 2022.

“Alhamdulillah, walaupun cawangan kami masih baru, tetapi kami telah berjaya mendaftarkan 12 keahlian baru PAS cawangan dan enam orang pelajar PASTI As-Sakinah.

“Kami sangat optimis untuk membantu PAS Kawasan Bentong dan berharap agar PAS Bentong terus kuat melalui penubuhan cawangan dan pertambahan ahli baru ini, ” ujar Roslan bersemangat.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Bentong berkata lagi, usaha ini turut membantu menyemarakkan lagi kempen ‘Jom Sertai PAS’ Bentong yang menawarkan keahlian percuma bermula Julai 2021 dan bakal berakhir pada Jun ini.

Ziarah penutup itu dihadiri Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah, Setiusaha, Ismail Bakar, Ketua Pemuda DPPK, Naqib Sahimi, Timbalan Ketua Muslimat, Hafizah Jaafar, ahli jawatankuasa PAS Kawasan Bentong dan Cawangan Sungai Murai.

PAS Bentong membuka tirai ziarah mahabbah pertama ke PAS Cawangan Ketari pada 7 Disember lalu dan telah menjelajah ke lebih daripada 30 buah cawangan PAS seluruh kawasan Bentong.