Oleh: KHAULAH AL AZWAR
BENTONG, 2 Ogos :: PAS Bentong bersama Lajnah Kebajikan dan NGO Cakne Rakyat terus menyemarakkan misi sumbangan kepada warga Bentong memaknai PAS sebagai parti berkebajikan, semalam.
Seramai lebih daripada 10 keluarga berbilang bangsa dan latarbelakang terharu dan gembira menerima sumbangan berbentuk barang makanan daripada PAS Bentong dan ia sangat melegakan hati mereka ketika berhadapan dengan ujian COVID-19 ini.
Turut disantuni adalah dua orang amilin PAS yang sedang melalui ujian kesakitan iaitu Pengerusi Lajnah NGO dan Perpaduan Nasional PAS Kawasan Bentong Azmi Mat Arif, dan Pengerusi Tetap PAS Cawangan Bilut Moulud Hussein, menerima sedikit sumbangan daripada PAS Bentong. Moulud diwakili isterinya Maimun Veerankuthy.
Azmi akan menjalani rawatan radioterapi telinga di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sementara Moulud disahkan telah mengalami kerosakkan buah pinggang tahap-5 dan kini sedang menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Bentong.
“Apapun ‘hingar-bingar’ politik yang sedang berlaku di luar sana, kerja kami tetap terus berjalan. Yang penting, ‘perut’ dan nasib rakyat perlu diutamakan.
“Diharapkan agar kita semua dapat hidup aman damai walaupun berlainan agama, bangsa dan pegangan politik demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara kita yang tercinta ini terus terjaga dan terpelihara,” ujar Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah.
Turut bersama mengiringi misi penghantaran sumbangan adalah teraju utama Lajnah Kebajikan (LKK) PAS Bentong, Mohammadin Mustafa dan ahli jawatankuasa PAS Bentong, Fairuz Kasmuri.
Foto Oleh: Mohammadin Mustaffa