Home Berita PAS Pahang

PAS Bentong pergiat kempen menambah keahlian

58
SHARE

OLEH : KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 30 Nov. :: PAS Kawasan Bentong menyambut baik kempen ‘PAS Pilihanku, Jom Sertai PAS’ anjuran Jabatan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang.

Kempen pendaftaran keahlian baru secara besar-besaran untuk tempoh bermula 1 Jun 2021 hingga 31 Mei 2022 telah dilancarkan oleh jawatankuasa tertinggi PAS Pahang pada 22 Mei lalu dengan tema ‘PAS PILIHANKU’.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah, sehingga November 2021 sambutan pendaftaran keahlian baharu di peringkat cawangan sangat menggalakkan.

“Sebanyak 60 peratus daripada unjuran yang ditetapkan negeri berjaya kita lunaskan dan saya sangat positif menjelang Mei 2022, angka tersebut akan mencecah sasaran.

“Kempen keahlian ini pada awalnya bergerak agak lesu ekoran pandemik Covid-19, tetapi setelah negeri Pahang beralih kepada fasa keempat pelan pemulihan, gelombang penyertaan turut berjalan rancak dan ketara,” jelas Khairuddin.

PAS Negeri Pahang menetapkan unjuran sebanyak 10 peratus daripada keahlian semasa mesti dicapai oleh setiap Kawasan bagi melayakkan mereka menyertai kempen yang berlangsung selama setahun ini.

Antara objektif utama kempen ini adalah sebagai salah satu rangsangan menggiatkan aktiviti menambah keahlian PAS di semua peringkat dan mewujudkan persaingan sihat di antara cawangan dan kawasan dengan berlumba-lumba menambah ahli baru.

Untuk itu, PAS Bentong telah mengambil inisiatif melalui mandat mesyuarat bulanan PAS Kawasan Ahad lalu bagi menggerakkan semua entiti di dalam PAS dalam usaha memperhebatkan lagi gerak kerja menarik penyertaan masyarakat menjadi ahli PAS.

“InsyaAllah, PAS Bentong akan bertindak lebih agresif menguar-uarkan kempen ini khususnya melalui medium media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan tik-tok.

“Semoga kempen pendaftaran keahlian baharu PAS ini berjaya mencapai tujuan dan sasarannya.

“Kita bekerja secara berjemaah dan saya sangat optimis, budaya kerja secara kolektif ini mampu memantapkan hala tuju PAS Bentong seterusnya merealisasikan misi ‘PAS For All’ melalui kempen ini,” ujar beliau yakin.

Pada 7 Julai 2021 lalu, PAS Bentong telah melancarkan kempen ‘Jom Sertai PAS’ secara maya dengan tawaran menarik iaitu yuran keahlian percuma kepada sesiapa yang berminat menjadi ahli PAS bermula Julai hingga Disember 2021.

=========================