Home Berita PAS Pahang

PAS Bentong berterusan sebar dakwah

145
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 22 Jan :: “Biarpun PAS masih ‘belum menang’ di Bentong, agenda dakwah tetap berterusan disebar bagi membuka pintu hidayah golongan bukan Islam agar tertarik kepada Islam dan PAS,” kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pahang, Khairuddin Abdullah.

Menurut beliau, program ziarah merupakan salah satu aktiviti dakwah bil hal oleh PAS iaitu berdakwah dengan menunjukkan perbuatan yang baik kepada masyarakat.

Ujarnya, biarpun PAS Bentong `masih belum menang’ di Bentong tetapi syiar Islam melalui program dakwah tetap diteruskan agar suatu hari nanti ia mampu membuka pintu hidayah kepada masyarakat tertarik kepada Islam dan PAS.

“Secara politik, ya kami belum menang di Bentong, tetapi kami akan terus ‘berkempen’ menunjukkan akhlak yang baik kerana kerja kami bukan sibuk berpolitik setiap masa, selain menjaga dan memperbaiki hubungan dengan Allah, hablumminallah, kami juga perlu menjaga hubungan baik sesama manusia, hablumminannas.

“PAS berbesar hati melaksanakan program ini sebagai salah satu usaha dakwah kepada warga bukan muslim memandangkan di saat ini semua orang tua pasti mengharapkan kehadiran anak-anak di sekeliling menjelang hari perayaan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian seusai program aktiviti dakwah bil hal dengan menyantuni orang-orang tua sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Seramai 24 orang warga tua daripada Rumah Orang-Orang Tua Batu Satu, Bentong disantuni delegasi PAS Bentong diketuai Pengerusi LPN Negeri merangkap Yang Dipertua PAS (YDP) Bentong, Khairuddin Abdullah.

Menurut beliau yang berketurunan ‘orang asal’ itu, ini membuktikan bahawa Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW bersifat adil dan sejahtera memimpin semua bangsa.

Kehadiran PAS ibarat pemudahcara untuk menunjukkan negara mampu ditadbir dan dijaga dengan baik oleh pemimpin yang menjaga agamanya.

Sumbangan berbentuk barangan makanan dan ‘jongkong emas’ (limau mandarin) telah diserahkan kepada Wong Lian Keow selaku pengurus rumah orang-orang tua tersebut.

“Terima kasih banyak kepada semua yang terlibat  termasuk Puan Wong yang sudi membantu menjayakan program ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua masyarakat tionghua yang merayakannya, moga ‘tahun arnab’ pada tahun ini akan membawa kemakmuran hidup,” ujar beliau

Selain Khairuddin, delegasi PAS Bentong turut diiringi Pengarah LPN Kawasan, Mohd. Azmi Mat Arif, Ketua Muslimat Kawasan, Yusma Yusof bersama Ketua LPN DMPK, Farahidayu Sulaiman serta Ketua Lajnah Kebajikan (LKK) Mustafa Abu Bakar.

Turut serta adalah wakil parti GERAKAN iaitu calon Perikatan Nasional DUN Ketari, Mr. William Tan dan Mr. Jai, mewakili Dato’ Serichandra, calon PN DUN Bilut.