In Oleh : HABSAH ALI
AIR PUTIH, 1 Dis : “PAS akan menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman kali ini,” kata Exco Keusahawanan Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman yang sedang membuat lawatan di Unit Daerah Mengundi (UDM) Cheneh di sini hari ini.
“Semua petugas kita dalam keadaan telah bersedia di saat terakhir ini, termasuk polling agent dan counting agent di bilik mengundi.
“Alhamdulillah di setiap UDM dibantu oleh petugas-petugas dari DUN bantu dan negeri bantu. Di sini dibantu oleh DUN Alor Limbat dan negeri bantu dari Pahang,” tambah beliau yang juga sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Terengganu.
Beliau seterusnya mengharapkan agar para pengundi di Parlimen Kemaman akan keluar mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Terengganu.
PRK Kemaman yang ditetapkan pada 2 Disember ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAS mewakili PN Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) dan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.