Home Berita PAS Pahang

MTIS wakil negeri Pahang ke peringkat kebangsaan

151
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 1 Dis : Pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), Temerloh, dinobatkan sebagai johan kategori Juzuk 1-10 perempuan dalam majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1445 H/2023M, semalam.

Wafa Al-Hana Ahmad Fahizmie, 14 memperolehi markah 90.55, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000/-, sijil serta plak dan akan mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan tahun hadapan.

Wafa Al-Hana merupakan anak sulung dari lapan beradik kepada Imam 2 Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Bentong, Pahang itu mengatasi 29 peserta lain dalam pertandingan itu.

Mudir MTIS, Ustaz Zarimi Abu Zih Asshubrawi ketika mengulas kejayaan Wafa berkata beliau anak yang rajin menghafaz dan mengulang-ulang bacaan Quran, istiqamah mengikut jadual ulangan yang telah ditetapkan oleh guru.

“Dia sangat beradab dan berakhlak di hadapan guru. Inilah asas atau rahsia kejayaan pelajar-pelajar penghafaz al-Quran,” katanya lagi terharu dengan kejayaan anak didiknya.

Dengan slogan ‘Membentuk Generasi Rabbani’, tiga lagi pelajar MTIS yang layak ke pusingan akhir iaitu Mohamad Hassan Mohd Firdaus, Nurul Asyfa Ibrahim Fikri dan Nir Faqihah Auni Zaharim turut menjadi kebanggaan.

Ustaz Zarimi turut memberi penghargaan kepada guru-guru MTIS khususnya jurulatih hafazan dan tarannum yang bertungkus-lumus melatih semua peserta dari MTIS.

“Seluruh warga Al-Istiqamah mendoakan anakanda Wafa yang bakal membawa nama Pahang, dianugerahkan rezeki terbaik di peringkat kebangsaan nanti, insyaAllah,” ujarnya penuh harap.

Majlis Menghafaz al Quran Peringkat Negeri Pahang 1445H/2023M berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 November lalu bertempat di Dewan Astana, Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad wakil rasmi YAB MenteriΒ BesarΒ Pahang.