Home Berita PAS Johor

PAR N53 Dun Benut: Anjur Misi Ziarah Masyarakat Setempat

997
SHARE

BENUT– PAR Dun Benut yang diwakili oleh 6 orang petugasnya telah turun menziarahi dan menyantuni 7 keluarga asnaf yang tinggal di Kampung Parit Markom, Kampung Parit Talibek & Kampung Parit Bachok pada 28 Oktober lalu. Ziarah bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari. Ziarah ini antara tujuannya ialah untuk menyalurkan bantuan orang ramai terus kepada golongan sasaran melalui pihak PAR Dun Benut itu sendiri.

Ziarah kebajikan ini juga merupakan antara program yang dilakukan oleh pihak PAR Dun Benut secara berkala. Kebanyakan Asnaf yang diziarahi semalam merupakan ibu tunggal, OKU dan juga seorang warga emas juga berstatus ibu tunggal.

“Saya bersyukur kerana hampir kesemua asnaf yang diziarahi ini dimaklumkan telah mendapat bantuan kewangan bulanan dari pihak berwajib. Manakala sebuah keluarga lagi masih lagi menunggu proses kelulusan, “kata Encik Mohd Firdaus Jaffar selaku ketua rombongan.

Selain itu, PAR Dun benut turut berkesempatan menziarahi dan menyantuni Ketua Kampung Mukim 7 Sungai Pinggan, Encik Suhaimi bagi mendapatkan beberapa maklumat berkaitan isu gejala penagihan dadah, kes kecurian hasil pertanian dan juga perkembangan terkini mengenai status jambatan Parit Markom yang runtuh beberapa bulan lepas disebabkan oleh tujahan sampah yang hanyut dibawa arus sungai yang deras waktu itu.

Dalam perjumpaan ringkas bersama En. Suhaimi itu, pihak PAR Dun Benut merasa berpuas hati dengan penjelasan isu setempat yang dikongsikan oleh beliau dan pihak PAR Dun Benut juga telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan beliau bagi memastikan permasalahan yang berlaku di sekitar kampung tersebut mendapat pembelaan sewajarnya.

Di akhir perjumpaan, pihak PAR Dun Benut telah bersetuju untuk mencarikan petugas bagi membantu beliau menyiapkan kerja-kerja pemasangan bumbung sebuah rumah asnaf.