Home Berita PAS Johor

PAR Dun Benut : Cakna Isu Kebajikan Dan Jalan Rosak

2182
SHARE

BENUT – Pusat Aduan Rakyat ( PAR ) Dun Benut telah meneruskan lagi Program Ziarah Kebajikan ke Kampung Parit Haji Yusof, Benut pada 12 November lalu.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi itu turut diiringi oleh Encik Zulkifli selaku wakil penduduk Kampung Parit Haji Yusof, di mana warung Encik  Sahak merupakan lokasi persinggahan pertama untuk bertemu dan menyantuni penduduk kampung yang bersarapan pagi di warung tersebut.

Selepas itu, program ini yang diketuai oleh Saudara Mohd Firdaus bin Jaffar diteruskan ke 11 buah rumah yang terdiri daripada kalangan warga emas, ibu-ibu tunggal dan asnaf. Dikesempatan tersebut, PAR Dun Benut turut menyalurkan sumbangan orang ramai seperti barangan dapur kepada semua keluarga yang dikunjungi.

Selepas itu, PAR Dun Benut telah di bawa ke Jalan Kampung Parit Abdul Rahman (Kawasan 8, Lubok Sipat) untuk melihat sendiri kondisi jalan yang agak teruk dan berlubang. Sebahagian daripada penduduk tempatan yang ditemui berharap agar permasalahan tersebut dapat dipanjangkan kepada pihak berwajib agar ia dapat diselesaikan dengan kadar yang segera memandangkan laluan tersebut antara laluan utama penduduk kampung.

Akhir sekali, pasukan PAR Dun Benut sekali lagi dibawa ke Warung En. Sahak untuk jamuan makan tengahari dan menunaikan solat Zuhur berjemaah di Surau Parit Haji Yusof .