Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Pan-Borneo: Kemajuan Melalui Penindasan

1636
SHARE

Oleh: AFIQ KHAZAR

KUCHING: Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Jofri Jaraiee membidas pengambilan hak Tanah Adat Bumiputera (NCR) secara paksaan tanpa pemberian pampasan yang setimpal bagi tujuan pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo.

Menurut beliau, tindakan tersebut merupakan satu bentuk penindasan halus kepada rakyat dari projek mega yang bernilai RM27 billion dan sangat dimegahkan itu.

Katanya, rumah pusaka yang didiami serta diwarisi penduduk sejak puluhan tahun dan kebun tanaman sumber rezeki mereka dimusnahkan sekelip mata menyebabkan hidup rakyat terjejas dan semakin melarat.

“Nilai pampasan terlalu sedikit sehinggakan pembelian bahan asas untuk membina rumah tidak cukup dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat. Situasi ini membingungkan rakyat untuk membina semula kehidupan baharu setelah penempatan asal dirobohkan,” ujar beliau.

Tempelak Jofri, pihak pemaju projek mega itu tidak seharusnya mementingkan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan nasib rakyat yang terus hidup dalam kesempitan akibat tanah mereka digunakan dalam projek itu.

Beliau turut menggesa pihak kerajaan meneliti semula nilai pampasan yang diberikan dengan mengambil kira kesusahan dan kerunsingan sedang dihadapi rakyat pada masa ini.

PAS Sarawak ujar beliau, berharap agar nasib rakyat terbela dan tidak dimangsakan, serta memandang serius masalah ini untuk terus diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya.