Home Berita PAS Perlis

Pakej bantuan khabar gembira buat rakyat

44
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 29 Jun: Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis menyambut baik pengumuman pakej bantuan untuk rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pesuruhjayanya Mohd. Shukri Ramli berkata, Pakej rangsangan ekonomi yang kelapan telah diumumkan itu sememangnya amat dinanti-nantikan rakyat.

“PAS Negeri Perlis mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang mengambil maklum keresahan rakyat khususnya golongan miskin tegar, para peniaga kecil-kecilan dan golongan yang berpendapatan harian pada ketika ini.

“Daripada tinjauan awal yang kita buat, rakyat sememangnya ternanti-nantikan pengumuman semalam khasnya apabila dimaklumkan bahawa pelaksanaan PKP3.0 akan diteruskan.

“Alhamdulillah, setelah meneliti butiran lengkap pakej yang terbaharu ini, lebih ramai rakyat akan menerima manfaat berbanding sebelum-sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang kelapan berjumlah RM150 bilion yang diberikan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pakej berkenaan meletakkan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri menyeru semua pihak agar dapat bekerjasama menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam usaha menangani pandemik dengan berkesan.

“Cukup-cukuplah berpolitik dengan cara yang sempit kerana ia merugikan rakyat pada ketika mereka sangat-sangat memerlukan bantuan.

“Saya merayu semua pihak agar dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar rakyat dan negara dapat keluar daripada kesukaran yang dihadapi pada hari ini dengan segera,” ujarnya.