Home Berita PAS Pahang

Pahang terus unggul sebagai juara keseluruhan ARPM22

249
SHARE

Oleh : HAJAR AKHTAR

PEKAN, 29 Dis :: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Pahang telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam program Alam Ria PASTI Malaysia 2022 (ARPM22) yang berlangsung dengan meriah di Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kuala Pahang, di sini semalam.

Kejayaan menjadi johan dalam empat daripada sebelas acara yang dipertandingkan iaitu bercerita (perempuan), nasyid, sajak (lelaki dan perempuan) telah mengulangi kejayaan PASTI Pahang empat tahun lepas, pada tahun 2018.

Program yang mempertandingkan acara hafazan, bercerita, sajak, khutbah, azan, pidato, kalam jamaie dan nasyid ini telah menerima kehadiran seramai 60 orang pegawai, 165 orang guru pengiring dan 376 orang peserta daripada 13 buah negeri di seluruh Malaysia termasuk lebih kurang 2 000 pengunjung yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga.

Program itu dirasmikan oleh Ketua Sektor Pendidikan, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Mukhtar Suhaili.

Di dalam ucapan perasmiannya Mukhtar menyentuh tentang data berkaitan PASTI Malaysia di mana bagi tahun 2022 terdapat 2,529 buah premis PASTI di seluruh negara, 142 000 orang murid dan 6 000 orang guru.

“Kewujudan PASTI ini telah membuktikan ramainya alumni PASTI yang berjaya menjadi insan hebat ukhrawi dan duniawi, ” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Induk ARPM22 Mior Hassan Sazali di dalam catatannya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pahang selaku tuan rumah yang menganjurkan dengan jayanya program ini dan mengiktirafnya sebagai penganjur terbaik program Alam Ria PASTI Malaysia 2022.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol, Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Aeriroshairi Roslan dan Ketua Majlis Guru PASTI Malaysia, Sadiah Abu Bakar.