Home Berita PAS Pahang

Padang futsal jadi medan jalin perpaduan Keluarga Malaysia antara DPPIM dan MIYC

66
SHARE

OLEH: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 30 Nov. :: Perjuangan berdasarkan konsep Keluarga Malaysia adalah satu wadah yang wajar disokong oleh semua pihak dari setiap lapisan masyarakat kerana ia mendukung semangat yang tinggi.

“PAS menyambut baik konsep perpaduan ini yang merupakan satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota (DPPIM) Ustaz Zulfadli Zakariah semasa perlawanan Futsal Perpaduan antara  DPPIM, dengan Malaysian Indian Youth Council (MIYC) baru-baru ini.

“Perlawanan persahabatan ini diadakan bagi membentuk semangat perpaduan merentasi kaum dalam merealisasikan pembentukan keluarga Malaysia.

“Kita mengharapkan semoga pertemuan kali ini menjadi gerbang engagement (keterlibatan) yang lebih akrab dalam kolaborasi seterusnya,” ujar Zulfadli.

Timbalan Ketua Malaysian Indian Youth Council (MIYC) Kawasan Indera Mahkota yang lebih suka dikenali sebagai Suresh berkata, bidang sukan adalah salah satu yang boleh dijadikan landasan dalam memupuk perpaduan antara kaum.

“Kita sebagai Keluarga Malaysia, walaupun lain bangsa tetapi dapat bersama menjayakan sukan ini dan kita berharap dapat berjumpa dengan program-program yang lain pula nanti,” tambahnya lagi.

Sementara itu Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Balendran Balasubramaniam berkata program ini bertepatan dengan masa dan keadaan sekarang, dimana semua pihak melihat perpaduan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum telah berkurangan.

“MIYC Kawasan Indera Mahkota juga telah mempelawa PAS bagi mengadakan perbincangan untuk bersama dalam membantu penduduk sekitar Kuantan dan Indera Mahkota dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Perlawanan persahabatan tersebut dianjurkan bersama oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM), Lajnah Perpaduan Nasional DPPIM, DHPP Indera Mahkota & Jabatan Kesenian Budaya dan Sukan (DACS) Indera Mahkota.

Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata, sesi beramah mesra dan bergambar di antara kedua pasukan pemain di Stadium Futsal POLO, Indera Mahkota 8.

=========================