Home Berita PAS Kedah

Operasi mencari kru bot nelayan jatuh laut masih diteruskan

195
SHARE

ALOR SETAR – Seorang kru bot nelayan dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika keluar menangguk siput di kedudukan 6.7 batu nautika barat laut Kuala Kedah pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mangsa, Mohd Ayob Jalaluddin,39, dipercayai terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 5.30 pagi.

“Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Kuala Sala itu sedang melakukan aktiviti menangguk atau tangkap siput sebelum tekong menyedari mangsa telah tiada di atas bot.

“Susulan itu, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Carilamat dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 sejurus menerima maklumat daripada pengadu Ismail Saidin bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Penyelaras Dun Pengkalan Kundur,Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi melawat lokasi operasi pencarian mangsa ketika dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Sala.

Difahamkan, 13 biji bot menuju ke kawasan kejadian di Kuala Kuar untuk meneruskan usaha pencarian mangsa.

Dimaklumkan, usaha mengesan mangsa turut disertai Ketua Komuniti Nelayan Kuala Sala, Mohd Isa Yaacob, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.

Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.