Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Nuzul Quran : Sejauh Mana Ia Dihayati?

957
SHARE

Nuzul Quran : Sejauh Mana Ia Dihayati?

17 Ramadan sebenarnya hari yang merupakan hadiah yang sangat berharga daripada Allah kepada seluruh umat Islam di  dunia ini. Ia merupakan hari wahyu pertama diturunkan Allah ke dunia iaitu surah Al-Alaq ayat 1-5.

اقْرَأْبِاسْمِرَبِّكَالَّذِيخَلَقَ

خَلَقَالْإِنْسَانَمِنْعَلَقٍ

اقْرَأْوَرَبُّكَالْأَكْرَمُ

الَّذِيعَلَّمَبِالْقَلَمِ

عَلَّمَالْإِنْسَانَمَالَمْيَعْلَمْ

 Dalam ayat lain Allah berfirman:

إِنَّانَحْنُنَزَّلْنَاالذِّكْرَوَإِنَّالَهُلَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr:9)

Ayat ini  menjelaskan bahawa kitab al-Quran senantiasa di dalam pemeliharaan Allah SWT jua. Di samping hadis, ijmak dan kias, maka al-Quran adalah sumber utama kepada syariat Islam.

Oleh itu peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa awalan Allah SWT mengeluarkan umat Nabi Muhammad daripada kegelapan kepada cahaya wahyu yang terang benderang. Daripada kejahilan kepada petunjuk hidayah al-Quran.

Maka peristiwa Nuzul al-Quran memberi makna yang terlalu besar kepada umat Islam, sekaligus kita harus mengambil ilmu-ilmu kalam Allah SWT ini.

Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca oleh umat manusia namun di dalamnya ada ayat-ayat yang menerangkan pelbagai aspek kehidupan yang meliputi soal tauhid, ibadat, syariat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya, apa yang penting kita harus mengkajinya.

Pada zaman yang kian meruncing ini, anak-anak muda sudah mula melupakan kepentingan Al-Qur’an. Bahkan yang paling menyakitkan, sudah ada yang berani mempersendakan kitab suci ini. Dimana kita untuk mempertahankan asas ajaran Islam ini. Benarkah kita benar-benar hadam maksud Allah SWT akan menjaga kesucian kitab-Nya?.

Harus kita faham, yang harus mempertahankan kitab suci Al-Quran adalah kita sendiri. Pastikanlah kita yang berjuang untuk memastikan musuh Islam tidak mampu mempermainkan dan menjatuhkan keagungan Al-Quran. Bayangkan nama  kita tidak ada dalam senarai pejuang yang mempertahankan kitab Al-Quran. Betapa kita berada di dalam kerugian yang besar.

Kita harus memastikan, rakyat menghafaz, memahami dan mengkaji segala ilmu-ilmu yang terdapat di dalam Al-Quran. Kerana itu antara cara terbaik untuk memastikan keutuhan kitab suci Al-Quran terjaga.

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Ketua

Dewan Muslimat PAS Malaysia

16 Ramadan 1440H

21 Mei 2019