Home Berita PAS Pahang

Nelayan hilang di perairan Tanjung Pelindung masih belum ditemui

110
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 25 Feb :: Seorang nelayan dari Kampung Pasir Garam, Beserah yang telah hilang di laut apabila bot yang dinaikinya terbalik di tengah laut perairan Tanjung Pelindung dekat sini Sabtu lalu masih belum ditemui.

Beliau yang dikenali sebagai Fadzely Mohamed bersama rakannya Abdul Mutalib Abdul Rahman telah terlanggar tali pukat sebuah bot tunda dalam perjalanan pulang, menyebabkan bot mereka terbalik.

Dalam kejadian tersebut Abdul Mutalib yang berjaya berpaut pada bot telah diselamatkan oleh nelayan yang lalu berhampiran, manakala Fadzley yang berpaut pada tali gagal bertahan lalu hanyut di tengah laut.

Kerja-kerja pencarian yang dilakukan selama tiga hari berturut-turut telah tertangguh seketika kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, namun kini sedang diteruskan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu ketika dihubungi menyatakan beliau mengharapkan semoga seluruh keluarga mangsa bersabar dengan ketentuan dan ujian Allah ini dan turut berdoa agar mangsa dapat ditemui.

Andansura memohon maaf daripada keluarga tersebut kerana tidak dapat bersama dalam operasi pencarian tempohari hingga kini kerana sedang menjalani kuarantin Covid-19, namun telah menghantar wakilnya Ali Akbar untuk mendapatkan maklumat operasi yang dijalankan serta mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah saya akan menziarahi keluarga mangsa apabila tamat tempoh kuarantin kelak, namun sedikit sumbangan yang telahpun pihak kami sampaikan pada hari kejadian melalui Ketua PAS Cawangan Beserah Tengah, Mohamad Hafizi, sedikit sebanyak menjadi tanda prihatin dan simpati kami atas musibah yang menimpa,” kata Andansura.

Beliau berterima kasih kepada pasukan operasi pencarian yang diketuai oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), juga melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Kuantan (APM).