Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

Negeri Sembilan : Selamat Berpilihanraya, Berpolitiklah dengan Matang & Sejahtera – YDP PAS Rasah

1587
SHARE

Sun Tzu, seorang Jeneral kerajaan Wu pada Kurun ke-6 SM, pernah menulis di dalam “The Art of War”:

“Kemenangan unggul adalah dengan memenangi peperangan tanpa melalui sebarang pertempuran”.

Seni peperangan Sun Tzu ini dipelajari bukan sahaja oleh jeneral-jeneral perang China, malah kini menjadi teks rujukan ilmu pertahanan Barat. Kuasa besar Barat & Timur kini, tidak perlu mengangkat senjata untuk menguasai dunia. Mereka mampu memenangi setiap inci dunia dengan kelincahan politik & kepintaran ekonomi.

Jika diteliti dalam sudut mikro, kata-kata hikmat Sun Tzu ini sangat relevan untuk diaplikasikan di dalam politik pilihanraya di Malaysia. Matlamat kita bukan sekadar menumbangkan musuh, tetapi memenangi hati nurani rakyat, malah menjinakkan kegarangan musuh untuk menerima dakwah PAS & menyokong perjuangan kita.

Dalam berpolitik ahli PAS seharusnya menggunakan seluas-luasnya ruang & peluang untuk mempamerkan rekod pencapaian kita & manifesto yang kita cadangkan untuk membina negara sejahtera. Kritikan yang kita lemparkan kepada parti lawan harus bersifat membina bukan menghina. Demi memastikan negara dapat dipulihkan dari makar sosial & ekonomi yang membarah. Biarlah kita berbeza pendapat yang membawa rahmat, bukan menjadi azab yang mengundang perpecahan ummah yang sukar dikawal.

Hal ini telah ditunjukkan oleh suri tauladan kita, dalam tatacara politik baginda kepada pemimpin-pemimpin empayar yang berjiran sekitar Jazirah Arab & dakwah kepada rakyat kebanyakan. Cercaan dibalas dengan senyuman. Dakwah berkembang pantas dengan kemuliaan akhlak Rasul. Ketegasan baginda ada di sebalik sifat rahmah baginda. Setegas dan kritis Saidina Umar pun masih mentaati baginda, malah menjadi Khalifah yang sangat tawadhu’ & berjiwa rakyat berkat asuhan baginda. Pengaruh Islam tular ke penjuru Timur & Barat dunia kerana hati rakyat telah dimenangi sebelum tumpasnya tentera & pemimpin mereka.

Formula inilah yang menyebabkan Islam diterima di Nusantara dengan aman bahagia, tanpa pertumpahan darah. Raja & rakyat Nusantara yang sebelumnya menganut agama nenek moyang, kemudian menukar agama Hindu-Buddha, akhirnya memeluk Islam kerana keindahannya. Islam tersemat kukuh di dalam sanubari. Penjajah Barat yang menjarah tanahair kita kemudiannya, sukar untuk menukar akidah kita walaupun ribuan missionari dihantar untuk mengajar fahaman mereka. Mereka menguasai tanahair kita, tapi bukan jiwa kita!

Maka sewajarnya kita memperelok akhlak & adab dalam bersilang hujah. Asuhkan jiwa kita untuk bersabar dengan kritikan lawan & membina kekuatan sendiri sebagai perisai yang ampuh. Inilah asas praktik budaya politik matang & sejahtera yang digaris oleh parti. Bermujadalah dengan baik & serulah mereka dengan hikmah & kebijaksanaan.

Seeru ‘ala barakatillah. InshaAllah kemenangan & keberkatan buat perjuangan PAS.

Ustaz Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa
Yang Dipertua PAS Rasah
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Sembilan