Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Negara Lebih Sejahtera Tanpa Judi

613
SHARE

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin menyuarakan bantahan apabila cabutan khas undi ramalan nombor ditambah dari 8 kepada 22 kali. Tindakan ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai murni yang ingin diserapkan di dalam jiwa rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama. Tindakan tersebut pula bagai menggalakkan rakyat menyertai kegiatan judi.

2. Bantahan yang asalnya disuarakan oleh YB Senator Liew Chin Tong dari DAP biarpun kelihatan canggung kerana selama ini DAP tidak pernah berminat untuk mengharamkan judi namun merupakan sesuatu yang harus diteliti oleh pihak kerajaan. Alasan mahu menambah pendapatan negara adalah suatu yang tidak wajar dipertahankan.

3. Umum mengetahui, seperti arak, judi telah memusnahkan banyak intitusi keluarga dan masyarakat. Kegiatan judi juga telah menyebabkan ketagihan pada mereka yang bermain dengannya sehingga menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan kewarasan. Perkembangan judi masa kini pula telah berkembang secara pesat di atas talian hingga menyebabkan penambahan bilangan penjudi tegar di kalangan masyarakat.

4. Perkara ini disebutkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 219:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”

5. Judi, biarpun dikatakan mempunyai manfaat tertentu terutamanya berkaitan kewangan negara namun mudharat yang diakibatkan olehnya lebih dari manfaat yang boleh didapati. Ia membuatkan judi merupakan perkara yang harus dibanteras dan dibendung.

6. Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan ini mencadangkan usaha untuk membanteras kegiatan judi ini dilakukan secara beransur-ansur sehingga akhirnya Malaysia berjaya membebaskan negara dari perjudian. Tumpukan kepada usaha mencari kewangan negara dengan cara yang lebih baik dan bermaruah.

#IslamMemimpin
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#IslamMemimpinWanitaSejahtera

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
19 Januari 2021 | 7 Rejab 1442H