Oleh : Shawal Ahmad (WARM)
JASIN: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek dan Pertubuhan Kebajikan Amanah Prihatin Kulai Johor (PKAP) memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Serkam Barat di sini.
Sumbangan tersebut diserahkan sendiri semasa mereka melawat mangsa kebakaran terbabit, hari ini. Turut serta dalam lawatan tersebut PAS Kawasan Jasin dan Muslimat PAS Kawasan Jasin yang juga menyalurkan bantuan berbentuk wang tunai.
Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka berkata, pihaknya turut bersimpati dengan musibah yang dihadapi oleh mangsa kebakaran dengan menghulurkan bantuan bagi meringankan sedikit beban keluarga terbabit. Mangsa yang diuji kesabaran oleh Allah S.W.T ini telah dikongsikan bebanan mereka dengan sumbangan wang tunai, beras dan pelbagai keperluan dapur.
“Kita sentiasa peka dengan musibah yang menimpa masyarakat dengan memberi bantuan semampu kami. Diharapkan dengan bantuan yang kami berikan pada hari ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka,” ujarnya di sini hari ini.
Selain itu, pihak Pertubuhan Kebajikan Amanah Prihatin Kulai Johor (PKAP) turut menghulurkan bantuan dari segi keperluan asas harian.
Dalam pada itu, menurut abang mangsa, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas pada jam lebih kurang 8 malam selasa lalu melibatkan sebuah rumah yang didiami Rasif bin Talib sekeluarga bersama anaknya yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagaimanapun punca sebenar kebakaran serta kos kerugian masih lagi disiasat pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kejadian berkenaan menyebabkan rumah jenis separa kayu itu terbakar 90 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Mangsa kini menumpang sementara di rumah abangnya di kampung tersebut.
Ketika kejadian pemilik rumah berkenaan tiada di rumah manakala anaknya sedang menonton televisyen sempat menyelamatkan diri dan mendapat kecederaan melecur di beberapa bahagian badan yang kini sedang dirawat di Hospital Melaka.
Semoga semua mangsa kebakaran diberikan kesabaran untuk menghadapi musibah yang melanda kepada mereka.