Home Artikel PAS Wilayah

Galas amanah perjuangan sebagai bekal bertemu Allah – YB Nuridah

37
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
2 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Suasana semasa negara menuntut komitmen yang bersungguh-sungguh dan berterusan bagi membangunkan sebuah negara yang sejahtera.

Demikian ujar Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Yang Berhormat Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh sambil menegaskan bahawa perjuangan yang diamanahkan oleh Allah SWT mesti digalas dan dilaksanakan sebaiknya.

Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Muslimat PAS Wilayah Persekutuan yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), baru-baru ini.

“Setiap apa yang kita lakukan bukanlah untuk orang lain tetapi sebenarnya adalah untuk ‘survival’ diri kita di dunia apatah lagi apabila bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak,” tegas beliau.

Ustazah Nuridah turut menyebut tentang firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra Ayat 7 dan Surah Al-Ankabut Ayat 6 yang berbunyi,

اِنۡ اَحۡسَنۡتُمۡ اَحۡسَنۡتُمۡ لِاَنۡفُسِكُمۡ‌ۖوَاِنۡ اَسَاۡتُمۡ فَلَهَا

Maksudnya, jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka (kerugian kejahatan) itu untuk dirimu sendiri. [Al-Isra : 7]

وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفۡسِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ

Maksudnya, dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. [Al-Ankabut:6]

Selain itu, beliau juga mengingatkan para hadirin tentang hakikat usia di dunia yang hanya sekejap sahaja iaitu sekitar 60 tahun sehingga 80 tahun.

“Tetapi, jika kita benar-benar melaksanakan jihad untuk memenangkan Islam dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat, negara dan dunia ini semata-mata kerana Allah SWT, meski dalam jangka waktu yang pendek ini mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang bahagia di dunia dan di akhirat kelak insyaAllah,” jelas beliau lagi.

Selain itu, Ustazah Nuridah turut menyatakan hakikat sebenar untuk berada dalam kepimpinan negara adalah mesti bagi memandu manusia agar tunduk dan patuh kepada titah perintah Allah SWT.

“Dalam sedikit masa sahaja lagi berbaki Ramadhan bersama kita ini, ambillah peluang ini untuk banyak-banyak berdoa kepada Allah SWT agar pejuangan menegakkan Islam ini diberikan kejayaan oleh Allah SWT.

“Marilah kita terus berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan melakukan segala gerak kerja dengan penuh disiplin, bersungguh-sungguh dan sabar menghadapi susah payah yang sangat sekejap dan sangat jauh berbeza dengan susah payah hari akhirat nanti.

“Walaupun ada ketika kita merasa payah, ingatlah payah dalam kubur, payah di padang mahsyar, semua itu hakikatnya lagi dahsyat daripada segala alasan yang mungkin kita berikan dalam kehidupan yang sementara ini,” ujar beliau di akhir ucapan.