Home Artikel PAS Melaka

MUSLIMAT TANGGA BATU PERKUKUH AGENDA KEBAJIKAN MELALUI SKUAD PRIHATIN

524
SHARE

Oleh : IbnatDeen (WARM)

TANGGA BATU- Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu terus fokus menggerakkan ziarah kebajikan dari rumah ke rumah dengan mengadakan satu program ziarah skuad prihatin di sini semalam.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu, Anida Haron menegaskan ziarah kebajikan ini telah menjadi rutin wajib kepimpinan Muslimat PAS dan perlu terus diperkasakan di setiap peringkat sebagai tanda prihatin dan cakna terhadap masyarakat setempat.

Ziarah yang turut disertai ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu itu, telah berkunjung ke dua buah rumah di sekitar Paya Rumput Jaya. Selain bersilaturrahim, ziarah skuad prihatin turut menyampaikan sedikit sumbangan kebajikan kepada penghuni rumah yang dikunjungi.

Anida yang juga Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan Negeri Melaka berkata, agenda ziarah ini perlu konsisten dijalankan bagi memperkukuh hubungan erat sesama ahli serta memperkenalkan PAS dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kita akan terus menyusun pergerakan ziarah kebajikan melalui skuad prihatin di setiap cawangan-cawangan dan dun di dalam Kawasan Tangga Batu secara berkala. Program ziarah ini akan terus menjadi salah satu identiti PAS dalam usaha menyantuni masyarakat serta menjadi peluang dakwah secara tidak langsung kepada mereka.” kata Anida ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di dalam program tersebut.

Program tersebut bermula sekitar jam 3.30 petang dan berakhir jam 5.00 petang. Aktiviti ziarah ini telah diakhiri dengan solat Asar berjemaah di Markas Darul Ta’lim Sungai Udang serta program Akifi mingguan anjuran bersama antara Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu.