Home Berita PAS Sabah

Muslimat perlu main peranan tingkatkan sokongan pengundi

56
SHARE

Oleh: ASRENNA YUN dan ANNA ABDUL
28 Mac 2023

TAWAU : Semua muslimat perlu memainkan peranan penting untuk meningkatkan sokongan pengundi merentasi kaum dan agama.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Batu Sapi, Nur Farahin Jafarsah berkata, muslimat PAS perlu menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad, agar hubungan baik bersama pengundi daripada pelbagai kaum dan agama dapat dipupuk.

“Muslimat PAS perlu menjalin kerjasama dengan rakan politik serta bukan politik melalui agensi dan NGO untuk mendekati masyarakat berbilang agama di Sabah,” ujarnya semasa sesi penangguhan Muktamar Dewan Muslimat PAS Sabah, di sini, Sabtu lepas.

Muktamar telah dirasmikan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor yang melibatkan perwakilan dan pemerhati daripada 15 kawasan seluruh Sabah.

Sementara itu perwakilan Kota Belud, Shairee Amran pula berkata, program dakwah, kebajikan dan politik hendaklah untuk semua tanpa pilih kasih, namun mestilah berpegang kepada prinsip Islam yang teguh dengan menggunakan pendekatan kebajikan, penerangan dan media serta kemahiran teknologi terkini.

“Muslimat PAS perlu mendepani cabaran dengan ilmu dan memberikan teladan yang baik. Belajar tentang sensitiviti kaum, budaya dan agama lain dalam menyesuaikan diri.

“Muslimat juga perlu mempergiat usaha menyantuni pemimpin-pemimpin kaum serta agama lain untuk menjalin hubungan baik dan bertukar pandangan,” katanya semasa sesi penangguhan.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Semporna, Mahfudzah pula berkata, usrah merupakan tunjang tarbiah.

Menurutnya, muslimat yang hadir muktamar telah menunjukkan satu komitmen besar memerlukan pengorbanan, kefahaman dan fikrah yang jelas.

“Komitmen ini dapat dibentuk sekiranya usrah digerakkan secara proaktif dengan menitikberatkan pemilihan naqibah dan asatizah serta isi perbincangan yang berkualiti.

“Muslimat perlu menyemak semula kehadiran dan penglibatan dalam program tarbiah khususnya usrah manhaj haraki sebelum turun ke lapangan bagi membantu gerak kerja perkaderan” katanya semasa ucapan penangguhan mewakili kawasannya.

Mahfuzah turut mencadangkan agar muslimat menguasai pelbagai bidang kemahiran, pengurusan dan pengendalian kepimpinan supaya metod dakwah di lapangan menjadi lebih menarik bagi meningkatkan lebih ramai keahlian.