Home Berita PAS Perlis

Muslimat Perlis hulur sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan

53
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 21 Okt: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (DMPNPs) hari ini menyerahkan sumbangan kepada keluarga ketiga-tiga perwakilan Dewan Muslimat PAS Sungai Petani yang terkorban dalam kemalangan semalam.

Sumbangan diserahkan oleh wakilnya, Ustazah Rokiah Abdul pada program ziarah yang diadakan petang tadi.

Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis, Nor Shahirah Mat Salleh berkata, DMPNPs turut berasa simpati dan berdukacita atas kejadian yang berlaku.

“Kami amat terkejut menerima perkhabaran (kemalangan) tersebut kerana ianya berlaku pada ketika masing-masing sedang sibuk memberikan tumpuan kepada muktamar penuh yang sedang berlangsung pada ketika ini.

“Justeru, Muslimat PAS Perlis mengambil keputusan untuk menziarahi ketiga-tiga keluarga mangsa kemalangan tersebut di kediaman mereka di Sungai Petani dan menyerahkan sedikit sumbangan sebagai tanda simpati kami,” katanya di sini.

Semalam, negara dikejutkan dengan berita kemalangan maut melibatkan tiga perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Petani di Kilometer 390 di Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang.

Mereka adalah Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23 dan Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, yang disahkan maut di tempat kejadian, manakala Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River.