Home Berita PAS Sabah

Muslimat PAS Putatan aktif dekati masyarakat

703
SHARE

Oleh : Aisyah Ramadha Ismail
8 September 2020

PUTATAN: Program ‘Preloved With Love 6.0’ anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan (DMPKP) mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk sekitar Lok Kawi. Program tersebut dianjurkan serentak dengan demonstrasi masakan ‘Sambal Meletop’ bertempat di PASTI Al-Furqan, Sabindo pada hari Ahad lalu.

Hadir bersama dalam program ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Putatan, Ustazah Normi Yusof dan ahli jawatankuasa DMPKP.

Ini adalah anjuran kali keenam program seumpama ini, yang menjadi platform masyarakat mendapatkan pakaian berkualiti dengan harga bermula RM1 hingga RM10 sahaja. Antara yang menarik adalah lelongan melalui siaran langsung di laman Facebook Ameerah PAS Kawasan Putatan.

Bertemakan konsep ‘Membeli Sambil Beramal’, hasil jualan akan disumbangkan untuk program kebajikan masyarakat yang dijalankan oleh institusi terpilih.

Pembeli berpeluang memilih serta membeli secara dalam talian pakaian yang disumbangkan oleh sebuah butik untuk dijual pada program ‘Preloved With Love’ kali ini.

Turut diadakan, demonstrasi masakan ‘Sambal Meletop’ oleh penyandang kejuaraan Ratu Kuali DMPKP 2019 iaitu Noorsheela Shamsudin. Beliau berkongsi tip memasak sambal dan ilmu pengiraan kos serta penetapan harga jualan.

Menurut Ustazah Normi, acara sebegini sangat sesuai dengan golongan sasar DMPKP iaitu para wanita. Kemahiran memasak dapat membantu kaum ibu menjana pendapatan sampingan dari rumah.

Justeru katanya, Muslimat PAS sentiasa aktif menganjurkan program yang membudayakan ilmu dalam kehidupan, selaras dengan konteks PAS yang menjadikan dakwah dan tarbiah sebagai aktiviti asas gerakannya, selain siasah (politik).