Home Berita PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Pencemaran Air: Kerajaan PH Selangor Perlu Bertanggungjawab

698
SHARE

Bencana yang menimpa rakyat Selangor baru-baru ini bukan perkara kecil. Terputusnya bekalan air telah menjejaskan kehidupan lebih 1.2 juta penduduk di Lembah Kelang yang sedang melalui PKPP akibat pandemik Covid 19.

Sudahlah kehidupan mereka serba-serbi berubah akibat pandemik ini, tiba-tiba mereka dihempap pula dengan masalah terputusnya bekalan air yang sudah pasti menambah ganggu lagi kehidupan harian mereka apatah lagi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa sekitar Lembah Kelang.

Siapakah yang punya angkara hingga rakyat terpaksa memikul kesusahan dan derita ini?
Menurut pihak berkuasa bekalan air dari empat loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihentikan serta-merta kerana berlaku pencemaran dari punca air di Sungai Gong, Rawang dalam Parlimen Selayang.

Dari manakah datangnya pencemaran ini?
Menurut pihak berkuasa lagi ianya diakibatkan oleh pelepasan minyak dan sisa terpakai dari sebuah kilang jentera berat di Kg Sg Dua, Rawang.

Bayangkan aktiviti tidak bertanggungjawab kilang ini telah mengakibatkan kesengsaraan buat lebih 1.2 juta penduduk yang tidak berdosa dan malah sehingga pagi ini walaupun bekalan air telah mula dipulihkan namun baki 20 peratus penduduk Lembah Kelang masih menanggung deritanya.

Isunya bagaimana kilang ini boleh sewenang-wenangnya melepaskan minyak dan sisa mereka ke punca air sehingga mengakibatkan pencemaran tanpa pemantauan mana-mana pihak? Rupanya kilang ini dibina tanpa kelulusan (Kebenaran Merancang atau KM) dari Majlis Perbandaran Selayang. Rupanya kilang ini beroperasi tanpa lesen yang sepatutnya dikeluarkan oleh pihak MPS. Dan lebih malang lagi rupanya kilang durjana ini telah beroperasi bukannya 2 atau 3 bulan tetapi selama lebih 6 tahun! Rupanya kilang ini pernah dikompaun pada bulan Mac lalu tetapi terus beroperasi.

Bagaimana mungkin kilang ini dapat beroperasi tanpa KM dan lesen sekian lama? Apakah Kerajaan Negeri PH tidak maklum? Apakah EXCO Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari DAP tidak maklum? Apakah ahli Parlimen Selayang dari PKR tidak tahu menahu akan kewujudan kilang ini, bagaimana pula ADUN Rawang juga dari PKR? Tidurkah semua mereka? Kilang ini bukan letakknya di tengah hutan belantara tetapi di dalam kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), lebih tepat lagi di Zon 16 MPS yang punya Ahli Majlis kawasan dari PKR serta Jawatankuasa Penduduk yang dianggotai pimpinan parti PH peringkat ranting dan cawangan.

Mustahil mereka tidak tahu menahu akan kewujudan kilang yang punya potensi meracuni punca air rakyat Negeri Selangor ini? Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 tidak membenarkan mana-mana pihak mendirikan sebuah bangunan tanpa kebenaran bertulis dari pihak PBT. Seksyen 72 Akta yang sama menyebut jika pihak PBT berpuashati bahawa sesautu bangunan itu didirikan bersalahan mengikut seksyen 70, pihak berkuasa boleh meruntuhkan bangunan berkenaan.

Kini kilang ini disita sementara menunggu untuk dirobohkan. Isunya mengapa sekarang? Mengapa tidak 6 tahun lalu? Mengapa setelah 1.2 juta rakyat terjejas kehidupannya baru mahu bertindak? Bayangkan jika air tercemar ini terlepas dan digunakan rakyat, Siapakah yang tidak melakukan tanggungjawabnya sebagaimana dikehendaki. Atau siapakah yang bertanggungjawab tetapi mendiamkan sahaja perkara ini. Siapakah yang disogok berbuat demikian, jika ada? Orang politik dari Menteri Besar ke EXCO berkenaan ke Ahli Parlimen dan ADUN kawasan serta Ahli Majlis jangan sekali-kali lepas tangan dan menuding jari ke kakitangan kerajaan sedangkan kamulah yang diberi mandat oleh rakyat.

Kini rakyat menjadi mangsa, apa alasan kamu? Memang kilang ini puncanya, tetapi angkara siapakah kilang ini boleh beroperasi selama 6 tahun tanpa diambil tindakan. Siapakah yang melindunginya? Siapakah yang memerintah Negeri Selangor ini? Terbaru kita dimaklumkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu ini.

Diharapkan jangan hanya penjawat awam sahaja yang disiasat tetapi siasat juga terutamanya orang-orang politik dari Menteri Besar, EXCO hinggalah Ahli Majlis dan Jawatankuasa Penduduk supaya Jangan sesiapa pun ada yang terlepas.

Rakyat Selangor mahu melihat petualang sebenar diseret ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan dihukum dengan hukuman paling berat, Rakyat menuntut keadilan.

Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#IslamMemimpinPerpaduan