Oleh: Wan Noor Aziezan Baharuddin
BANGI, 25 Februari 2018 – Dr Rosni Adam, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru semua muslimat PAS agar membuat anjakan minda terhadap peranan masing-masing.
Bercakap semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Serdang (DMPS) kali ke 28 di Saujana Impian, Kajang hari ini, beliau berkata semua Muslimat PAS perlu keluar berjumpa masyarakat dan memimpin seluruh wanita terutama di cawangan masing-masing kepada Islam.
“Seluruh Muslimat PAS terutama Ketua Muslimat Cawangan adalah wakil bagi semua wanita di cawangan masing-masing.
Kita perlu keluar untuk memimpin mereka mendekati Islam dan menyelesaikan masaalah mereka.”
Beliau menyentuh perkara ini supaya setiap muslimat faham peranan mereka sebagai dai’e dan mampu berkomunikasi dengan berkesan.
“Setiap daripada kita yang menyebut la ilaha illallah, maka kita adalah dai’e. Maka, kita perlu keluar dari kelompok kita dan berjumpa dengan masyarakat setempat.
“Ini penting supaya masyarakat sedar kehadiran kita supaya senang untuk menyebarkan agenda Islam.
“Apabila kita telah dikenali, maka kita merupakan seorang dai’e yang berkesan”.
Dr Rosni juga sempat memberi 8 cara meraih pahala dalam setiap aktiviti yang dilakukan iaitu:
1) niat kerana Allah
2) matlamat untuk mendapatkan mardhatillah
3) meningkatkan keihlasan
4) memanfaatkan satu amalan dengan istiqamah melakukannya, dan meniatkan pahala untuk kebaikan ummah
5) memperbanyakkan kuantiti amalan supaya mendapat lebih banyak pahala
6) bersabar dengan kesusahan kerana semakin susah sesuatu perkara, semakin besar pahala yang akan diperoleh.
7) memahami hukum suatu situasi setiap gerak kerja muslimat dan
8) mengetahui fadhilat sesuatu amalan yang sahih
Timbalan Ketua DMPM ini turut memuji ucaptama KM Serdang dan berharap agar semua ahli mesyuarat meneliti semula ucapan tersebut dan mempraktikkan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.