Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Muslimat PAS Kecam Cubaan Normalisasi Zina

98
SHARE

KENYATAAN MEDIA

26 JUN 2021 | 15 Zulkaedah1442H

1. Dewan Muslimat PAS mengecam sekeras-kerasnya kewujudan kumpulan maya ‘Tukar Pasangan Suami Isteri Suka Sama Suka’ di laman mukabuku (facebook) yang tular kebelakangan ini. Ia jelas suatu tindakan tidak bermoral dan cubaan menormalisasi zina secara terbuka melibatkan umat Islam yang telah berkahwin di negara ini.

2. Perbuatan zina sesungguhnya akan mendatangkan banyak kerosakan terhadap manusia terutamanya melibatkan nasab apabila lahirnya anak di luar hubungan perkahwinan. Bahkan Allah SWT telah pun mengingatkan manusia akan bahaya zina melalui firman-Nya dalam surah al-Israa’ ayat ke-32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)”

3. Islam telah pun meletakkan garis panduan yang jelas berhubung perbuatan halal haram daripada segenap aspek termasuklah hal-hal berkait persetubuhan. Lelaki yang bersetubuh dengan wanita yang tidak halal baginya iaitu yang belum dinikahinya adalah satu perbuatan zina dan berdosa besar.

4. Perbuatan pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab ini wajar dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 49 Percubaan Persetubuhan Haram, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 kerana perbuatannya jelas mengajak pengguna media sosial lain ke arah mempraktikkan persetubuhan haram dengan cara menukar pasangan masing-masing secara suka sama suka di media sosial.

5. Justeru, Dewan Muslimat PAS menggesa pihak berkuasa untuk menghadapkan pelaku tersebut ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya. Hal ini untuk memberi pengajaran dan kesedaran kepada pengguna media sosial yang lain agar tidak menggunakan platform media sosial untuk tujuan-tujuan yang menyalahi norma sebagai seorang muslim.

sumber: https://www.facebook.com/groups/1966714946815494

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia