Home Rencana PAS Pahang

Muslimat PAS disaran ‘berdating’

321
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

Muslimat merupakan nadi penggerak dan tulang belakang penting bagi sesebuah institusi rumahtangga.

Dalam organisasi politik PAS pun tidak terkecuali.

Peranannya membantu gerak kerja dan aktiviti politik di barisan hadapan tidak dapat dinafikan.

Bila tiba musim pilihan raya, penglibatan mereka sangat-sangat diperlukan dan diketahui akan memberi impak yang membawa kemenangan.

Namun apa yang lebih utama ialah keberadaan mereka di lapangan perjuangan mesti mendapat restu dan izin suami.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Pusat, Noraini Husein, dipetik dari satu ucapannya berkias menyeru jentera muslimat PAS mencari masa ‘berdating’ (berpacaran) dan mengadakan ‘MoU’ (perjanjian persefahaman) dengan suami masing-masing bagi meraih mardhatillah (redha Allah) sebelum turun ke medan jihad pada PRU-15 nanti.

“Maka pada saat sebelum tiba musim pilihan raya sebenar, Kak In harap sangat kepada kita muslimat, jomlah kita mengadakan persefahaman antara kita dan suami,” katanya yang membahasakan dirinya Kak In.

‘Memorandum persefahaman (MoU)’ ini menurut Noraini wajar menjadi keutamaan bagi mengelak muntahan alasan dan suasana tolak-menolak bila tiba saat gendang ‘perang’ sudah dipalu dan parlimen sudah terbubar.

“Kita nak perang, sepatutnya masalah itu dah selesai dah. Kita dengan suami dah selesai, kita dengan anak-anak dah selesai.. bukan sebab apa, sebab kita ini adalah jentera frontliners yang berada di barisan hadapan.

“Nak persefahaman macam mana tu? Waktu dating itulah kita bincang dengan suami elok-elok. Carilah masa we time (masa bersama) sekejap dengan suami, pergilah mana-mana tempat untuk ‘berdating’,” katanya.

Tegas beliau, muslimat perlu akur dan taat serta memahami bahawa sehebat dan sekuat manapun mereka, masih tetap tertakluk kepada kuasa suami sebagai ketua rumahtangga.

“Kita tak nak, ketika kita keluar untuk gerak kerja pilihan raya nanti, tanpa restu suami kita, ertinya kita berada dalam maksiat. Jadi, tolonglah selesaikan perkara izin ni awal-awal,” katanya dengan serius.

Beliau dipetik berkata demikan ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang kali ke-34 di Temerloh pada 6 Ogos lalu.