Home Rencana PAS Pahang

Ada Apa Dengan Muharam?

161
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Di dalam Islam ada dua belas bulan yang telah ditentukan Allah SWT. Setiap bulan-bulan itu ada keutamaan dan kelebihannya. Contohnya, di bulan Ramadan diturunkan al-Quran. Di bulan Syaaban di angkat-Nya amal. Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah adalah bulan perayaan dan haji. Bulan Muharam permulaan bulan Islam dan lain-lain lagi.

Setiap umat Islam harus mengetahui nama dua belas bulan Islam ini dan bangga dengannya. Bulan Muharam adalah bulan permulaan bagi umat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36

Maksudnya,

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”

(Al-Taubah: 36)

Merujuk kepada bulan-bulan haram ini, kenapa di panggil bulan-bulan haram?

Diantara penyebabnya, di bulan itu diharamkan berperang. Adakah perintah ini masih ada atau sudah dibatalkan? Kerana Allah SWT turunkan ayat ini bersama Allah SWT perintahkan memerangi kaum musyrikin.

Ada beberapa pendapat yang mengatakan maksud peperangan itu. Memulai peperangan itu dilarang, kecuali peperangan itu sudah dimulakan sebelum bulan yang empat itu lagi. Dan ada pendapat juga sudah mengatakan yang dilarang peperangan di bulan-bulan haram sudah dihapuskan.

Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah-bulan di dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadis yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa:

Nabi S.A.W bersabda, yang maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Syaaban”.

(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054)

Kenapa Nabi SAW menyatakan bulan-bulan ini kembali kepada asalnya? Kerana orang-orang arab jahiliah suka menukar-nukar bulan terutamanya bulan Muharam. Kemudian Nabi SAW yang menetapkan bulan-bulan ini. Jadi sesiapa yang mengaku menjadi pengikut nabi SAW, ikutilah ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Kenapa bulan ini disebut bulan Muharam? Asalnya, ia dikenali sebagai Safar yang awal. Tetapi semasa Nabi SAW, di sebut Muharam. Di bulan ini diharamkan peperangan, disunatkan puasa. Ada hari yang istimewa di bulan ini, iaitu di hari yang kesepuluh dikenali dengan Asyura di mana pada hari itu Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dari buruan Firaun bersama Bani Israel dan pada hari itu Allah SWT menunjukkan kebesaran-Nya, membelah lautan dan menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya. Di katakan juga bulan ini adalah bulan Allah SWT (syahrullah).

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan ALLAH, Muharam dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam (qiamullail).”

(Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis lain ada diceritakan tentang seorang lelaki yang telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadan? Maka jawab baginda SAW:

“Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan, maka berpuasalah kamu pada bulan Muharam kerana sesungguhnya ia adalah bulan ALLAH.”

(Riwayat al-Tirmidzi)

Melihat hadis berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Muharam bukan bulan calang-calang. Ia juga dikenali sebagai bulan ALLAH.

Walaupun kita disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharam, tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya. Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas RA beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

(Riwayat Ahmad (2154))

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas RA, kata Nabi SAW:

Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharam).

(Riwayat Muslim (1134))

Sebuah hadis yang  diriwayatkan daripada Abu Qatadah RA. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

(Riwayat Ibn Majah (1738))

Kesimpulan:

Sebagai seorang muslim, ikutilah seperti apa sahaja amalan yang telah dilakukan dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW.  Nabi SAW telah menyuruh kita berpuasa pada sepuluh Muharam, jadi berpuasalah dan jangan melakukan sesuatu amalan yang bertentangan dengan syariat dan tiada sandaran dari al-Quran dan al-Sunnah.

Penuhilah bulan ini dengan amalan-amalan soleh, iaitu perbuatan atau perlakuan yang selaras dan bersesuaian dengan syariat Islam. Antaranya: selain puasa, mengeratkan ukhwah sesama umat Islam, memenuhi masa dengan perkara-perkara yang bermanfaat, seperti merancang masa bersama keluarga, belajar mendalami ilmu agama, bersama jemaah, bersama masyarakat, bersedekah, membaca al-Quran, berdoa, bermuhasabah kelemahan dan kekuatan diri sendiri dan lain-lain lagi.

Muliakan bulan ini dengan bersungguh-sungguh seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Hindarkan diri dari melakukan dosa-dosa, kerana sangat besar juga murka Allah SWT kepada yang melakukannya.

Azamkan yang terbaik di awal Muharam sebagai obor pembakar semangat untuk istiqamah melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup untuk sebelas bulan seterusnya dan seterusnya.