Home Artikel PAS Pulau Pinang

MUSLIMAT BUKIT MERTAJAM KEKAL ISTIQAMAH

178 views
SHARE

Oleh : Farhani Fuad

Bukit Mertajam, 3 Mac : Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Mertajam (DMPKBM) telah mengadakan mesyuarat agung buat kali ke-22 dengan jayanya bertempat di Maahad Tahfiz AQSA, hari ini.

Kehadiran kira-kira 80 orang perwakilan dan pemerhati termasuk Ahli Jawatankuasa ini membuktikan keutuhan semangat yang tidak pernah luntur dalam kalangan muslimat.

Ketua muslimat, Puan Noriah Ibrahim berkata dalam ucapannya, muslimat perlulah terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan PAS.

“Sebagaimana para assabiqat yang terlebih dahulu memperjuangkan Islam, kita patut mencontohi mereka.

“Muslimat harus berperanan dalam keluarga dan juga jemaah, agar faham motif gerak kerja di dalam jemaah”, ujar beliau.

Sementara itu, pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang (DMPNPP), Puan Maziah Khamis selaku perasmi majlis menegaskan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini tidak kurang sama dengan kerajaan yang sebelumnya.

“Kita membayangkan bertukarnya kerajaan, mereka akan membawa Islam, akan tetapi pemerintahan Islam yang kita impikan masih lagi tidak terlaksana”, kata beliau dalam ucapannya.

DMPKBM telah menganugerahkan Puan Zaleha Omar dan Puan Noriah Ibrahim masing-masing Anugerah Jasamu Dikenang dan Anugerah Kau Yang Terindah sebagai menghargai pengorbanan mereka berkhidmat bersama muslimat.

Naib Ketua DMPNPP, Puan Fadzillah Ahmad memuji beberapa aktiviti DMPKBM.

“Sepanjang saya menjadi pemerhati, inilah kali pertama saya melihat dewan muslimat memberi anugerah Kau Yang Terindah.

“Ini juga kali pertama saya membaca laporan aktiviti dewan muslimat menganjurkan usrah bersama isteri pimpinan PAS kawasan”, ujar beliau selaku wakil pemerhati daripada DMPNPP.