Home Artikel PAS Pulau Pinang

Kerjasama Dengan UMNO Bagi Memerintah Malaysia

2928
SHARE

Oleh : UMMU AL – FATEH

KEPALA BATAS: Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad ketika Liqo’ Fikri Dan Dialog Bersama Pimpinan anjuran Dewan Ulama PAS Negeri Pulau Pinang pada 2 Februari 2019 telah mengajak semua ahli PAS mengumpulkan kekuatan jati diri untuk memimpin kebangkitan masyarakat Islam di Malaysia.

Kehadiran peserta Liqo Fikri yang memenuhi Markaz Tarbiah PAS Negeri, Pongsu Seribu jelas menunjukkan semangat ahli PAS untuk mendengar sendiri penjelasan pimpinan berkaitan isu-isu semasa yang berlegar di media massa.

Berikut adalah beberapa penjelasan yang disampaikan oleh Ustaz Idris Ahmad yang perlu difahami oleh semua ahli PAS.

1. Politik Matlamat Menghalalkan Cara
Politik matlamat menghalalkan cara tidak mengambil kira tentang dosa pahala, neraka dan syurga. Mereka melakukan apa sahaja asalkan cita-cita mereka tercapai.

Disebabkan politik mereka yang seiring dengan fahaman sekular, perjuangan mereka terhad sehingga sebelum mati. Tiada lagi matlamat untuk fasa selepas kematian justeru mereka sanggup berbuat apa sahaja bagi mencapai matlamat semasa mereka hidup.

Sedangkan PAS berpolitik sebagai wasilah jambatan ke akhirat dengan menjadikan politik sebahagian kerja amal untuk dibawa bertemu Allah SWT.

Oleh sebab itulah PAS lebih bersabar merintis kemenangan dengan jalan yang diredhai Allah kerana mungkin kemenangan itu bukan pada zaman kita tetapi adalah pada zaman anak atau cucu yang akan datang.

2. Kepentingan Politik Islam
Melalui hadis tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, jelas menunjukkan golongan pertama yang Rasulullah sebutkan akan mendapat naungan adalah pemimpin yang adil.

Pemimpin yang adil berada di kedudukan tertinggi melebihi golongan-golongan lain sehingga golongan lelaki yang berzikir kepada Allah dalam kedudukan sunyi terletak pada golongan ketujuh yang nabi sebutkan dalam hadis baginda.

Kedudukan ini disebabkan seorang pemimpin akan menguruskan orang ramai sedangkan amalan zikir itu hanya untuk manfaat individu.

Sekiranya rosak pemimpin yang menguruskan masyarakat dan negara maka semua yang akan terlibat sama menjadi rosak.

3. Perjuangan Yang Berprinsip
Ketika bersama dengan orang Islam kita hendaklah bersifat tawaduk, manakala ketika berhadapan dengan orang bukan Islam kita perlu menunjukkan izzah hingga mereka menghormati kita sebagai muslim dan tidak memperlekehkan Islam.

Melalui perjuangan yang bukan berprinsipkan Islam, mereka sanggup menghina sesama umat Islam contohnya dengan mengatakan orang yang membela nabi sebagai penunggang agama.

Namun begitu mereka lebih memilih untuk lunak dengan orang bukan Islam serta menjaga hati mereka semata-mata untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya.

4. Wala’
Orang Islam wala’nya adalah pada Allah, Rasul dan orang beriman dan bukan wala’ mereka kepada orang bukan Islam.

Bukan dari ajaran Islam perbuatan menghina para ulama sebaliknya berbaik-baik dan memberi wala’ kepada orang bukan Islam.

Kita hendaklah menghormati keputusan yang dibuat oleh jamaah kerana kecerdikan ramai itu lebih baik dari cerdiknya kita seorang diri.

Walaupun jika terdapat rasa tidak puas hati, namun apabila ia telah menjadi keputusan jamaah maka kita hendaklah menerimanya dengan berlapang dada tanpa ada rasa keegoan.

5. Maqasid Syariah
Mengutamakan maqasid syariah untuk tujuan menjaga harta adalah tidak tepat kerana mengikut maratib maqasid syariah yang sebenar ia mesti didahulukan hifzuddin iaitu memelihara agama.

Kesan mengutamakan maqasid memelihara agama, kerajaan Kelantan dalam keadaan serba kekurangan namun masih mampu bertahan hingga negeri Kelantan terus berkembang maju dengan keberkatan Allah.

6. Isu 90 Juta
Mereka telah menyediakan dokumen setebal 55 muka surat untuk menolak saman Tuan Guru Haji Hadi Awang, sementara PAS pula telah mengemukakan hampir 600 dokumen sebagai bukti untuk menolak dakwaan mereka.

Jangkaan untuk perbicaraan kes ini sehingga bulan April memerlukan kos antara RM 6 juta hingga hingga RM 7 juta.

Oleh sebab PAS tidak mampu dari sudut kewangan maka PAS memilih penyelesaian di luar mahkamah yang turut melibatkan persetujuan kedua-dua belah pihak.

7. Sumbangan Derma UMNO, DAP
Kalau orang derma kepada kita ambil sahaja, tanpa perlu ditanya dari mana sumber duit itu maka sumbangan itu menjadi halal.

Namun jika ditanya serta jawapan yang diperoleh adalah dari sumber yang tidak halal, maka sumbangan tersebut menjadi haram dan kita tidak boleh mengambilnya.

8. Taawun
Walaupun dalam keadaan bertaawun, kita hendaklah memastikan wala’ kita adalah hanya kepada pimpinan PAS pusat dan negeri.

Kesilapan mereka yang telah keluar daripada PAS sebelum ini adalah semasa bertaawun, mereka telah meletakkan wala’ kepada PKR dan DAP bukan kepada PAS.

Kita hanya bertaawun dengan UMNO dalam isu bersama iaitu ancaman terhadap Islam dan ancaman kepada kedudukan Melayu.

Sementara itu, tujuan PAS berjumpa dengan Tun Mahathir adalah atas dasar beliau sebagai seorang Perdana Menteri dan bukan bermaksud itu adalah tanda sokongan PAS kepada PH.

Melalui penghayatan BPMS, PAS akan mengutamakan kepentingan rakyat dan agama melebihi kepentingan PAS sendiri.

Dalam adab bertaawun juga, Islam mengajar kita berkawan dengan orang lain tanpa ada rasa tamak juga tidak boleh merasa kedekut.

9. Keperluan Kerjasama Dengan UMNO
Kerjasama perlu dilakukan sekarang ketika orang Melayu masih kuat. Jika kerjasama ditangguhkan ia menyebabkan kita telah terlewat untuk menyelamatkan kepentingan Melayu dan Islam.

Selain itu, PAS juga ingin terus menyampaikan mesej dakwah kepada ahli-ahli UMNO dalam siri program bersama mereka.

10. Mengukuh Jati Diri Ahli PAS
Dalam usaha bekerjasama dengan UMNO semua ahli PAS perlu bermuhasabah dan memaksimumkan kekuatan jati diri agar Islam sentiasa memimpin di hadapan.

Ahli PAS perlu bersedia dengan segala kekuatan dalam berorganisasi serta mengukuhkan kerjasama dengan UMNO bagi memerintah Malaysia.